BANDARAYA MELAKA - Kerajaan negeri menambahkan baik keberkesanan kamera litar tertutup (CCTV) di negeri ini apabila dilengkapi dengan sistem pembesar suara yang ditempatkan di beberapa lokasi sekitar bandaraya ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, setakat ini lima pembesar suara telah dipasang di beberapa tempat seperti di Medan Samundera, Bulatan Kancil, pentas Jonker Walk di Jalan Hang Jebat, hadapan Hatten dan Memorial Pengistiharan Kemerdekaan di Banda Hilir.

Menurutnya sistem berkenaan akan diperluaskan lagi secara berperingkat terutama di beberapa kawasan komersial yang sering berlaku masalah aliran trafik.

"Saya berharap dengan ada sistem ini dapat membantu memudahkan kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan-kawasan tersebut khususnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam menangani masalah vandalisme selain isu lalu lintas.

"Jika ada kenderaan yang diletakkan di kawasan larangan, kakitangan PBT boleh lihat dari CCTV dan tegur mereka menggunakan pembesar suara sekali gus meleraikan kesesakan di kawasan itu," katanya.

Ismail berkata kepada media selepas melakukan lawatan ke bilik pemantauan CCTV berkenaan di bangunan pejabat MBMB di Graha Makmur di sini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Hussin.

Tambahnya, sebanyak 58 buah CCTV telah dipasang bagi menjaga keselamatan dan memantau aliran trafik di negeri ini.

Katanya, 39 buah CCTV di miliki oleh MBMB manakala 19 buah lagi milik Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).