REMBAU - Sebanyak enam lori dikompaun atas kesalahan melepaskan asap hitam yang berlebihan dalam operasi bersepadu Jabatan Alam Sekitar bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Rembau di JPJ Pedas, semalam.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sebanyak RM12,000 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, melalui Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996, standard pelepasan asap bagi kenderaan berenjin diesel adalah tidak melebihi 50 Unit Asap Hartridge (HSU) peratus.

“Jika pemilik kenderaan diesel gagal mematuhi peraturan ini boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM2,000, manakala bagi kenderaan jenis petrol boleh dikompaun sebanyak RM300.

“Semasa operasi ini sebanyak 229 kenderaan diesel dan petrol diperiksa secara visual dan mana-mana kenderaan yang disyaki melepaskan asap hitam ditahan untuk diukur serta diperiksa melalui ujian pelepasan asap/gas daripada ekzos kenderaan dengan menggunakan peralatan ‘Smoke Density Meter’ dan  CO/HC Analyzer bagi kenderaan petrol,” katanya.

Beliau ditemui semasa membuat tinjauan operasi pematuhan kawalan pelepasan asap enjin diesel di JPJ Pedas, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, S Sivanathiran dan Penolong Pegawai AADK Rembau, Farahiyah Uda.

Dalam pada itu, dua pemandu kenderaan awam ditahan berikutan positif dadah selepas pemeriksaan urin dilakukan oleh AADK.

Kedua-dua lelaki berusia 31 dan 46 tahun itu kemudiannya dibawa ke AADK Rembau untuk tindakan susulan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.