SEREMBAN - Seramai 170 majikan diberi notis pematuhan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri, dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan sejak Januari sehingga Jun 2018.

Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, J Arul Kumar berkata, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 1,113 tempat pekerjaan diperiksa melalui pemeriksaan berkanun, siasatan aduan dan permohonan pekerja asing.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 50 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan untuk tujuan tindakan pendakwaan dan kompaun.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah pembayaran gaji lewat, tidak mematuhi bayaran gaji minimun, gagal membuat laporan kemalangan yang membabitkan pekerja asing serta gagal mematuhi penyediaan insurans untuk pekerja asing.

"Kita yakin pasti ada lagi majikan di luar sana yang memandang remeh kebajikan pekerjanya, sehubungan dengan itu bermula bulan ini JTK akan mempertingkatkan  penguatkuasaan dibawah Ops Patuh.

"Mana-mana majikan yang gagal mematuhi peruntukkan undang-undang akan diambil tindakan tegas tanpa sebarang peringatan, memandangkan sebelum ini kita terlalu berlembut memberi mereka peluang tetapi masih tidak berubah,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja negeri, Wisma Persekutuan di sini tadi.

Hadir sama Pengarah JTK negeri, S.Tharu Marajan.

Tambahnya, Ops Patuh itu akan dilaksanakan secara bersepadu, bersama agensi lain seperti Jabatan Imigresen, Perkeso, dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.