TAMPIN - Seorang penternak lembu berusia 60 tahun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000 apabila 17 lembu peliharaannya ditemui mati di sebuah ladang di Gemencheh, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gemencheh berhubung insiden kematian kali pertama lembunya termakan racun kira-kira 8.30 malam kelmarin.

Menurutnya, penternak terbabit seperi biasa pergi ke kawasan ladang berkenaan bagi melihat ternakannya pada jam 10.30 pagi dan terkejut apabila melihat lembunya berusia satu hingga dua tahun sudah berlonggok di satu kawasan.

“Penternak terbabit sudah 17 tahun dapat kebenaran secara lisan daripada pihak pengurusan ladang untuk melepaskan ternakannya, yang kini berjumlah kira-kira 200 ekor dalam ladang berkenaan untuk meragut rumput sejak 17 tahun lalu.

“Bagaimanapun, kejadian lembunya mati termakan racun baru pertama kali berlaku dan jenis racun masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Tambahnya, penternak terbabit juga tidak menemui sebarang jenis racun berhampiran kawasan lembunya itu ditemui mati.

“Mangsa membuat laporan berkenaan bagi mengetengahkan insiden kepada agensi berkaitan dan pihak pengurusan ladang supaya insiden seumpama itu tidak berulang kembali," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.