RANTAU PANJANG - Sikap segelintir ibu bapa yang mengambil mudah soal pelajaran dikesan menjadi punca keciciran anak-anak mereka daripada menyambung pengajian ke peringkat sekolah menengah.

Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Kelantan, Muhammad Zahari Othman berkata, bagaimanapun faktor-faktor lain seperti masalah keluarga dan kemiskinan hidup  turut menjadi penyumbang keciciran dalam pendidikan.

"Selain itu, faktor persekitaran kehidupan pelajar turut menjadi punca kepada masalah tersebut iaitu mudah untuk mendapatkan wang.

"Sebagai contoh jika mereka tinggal berhampiran dengan padang golf, jadi perkerjaan mengutip bola tersebut sangat mudah selain diberikan upah.

"Ini membuatkan mereka mula tertarik untuk bekerja daripada belajar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sifar Murid Cicir Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di sini.

Pada majlis tersebut, Muhammad Zahari turut menyerahkan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang tercicir sebelum ini bagi memberikan mereka semangat untuk kembali ke sekolah.

Menurutnya, sepanjang tahun 2018 seramai 9,526 pelajar di negeri ini telah dilaporkan tercicir.

Katanya, bagimanapun, seramai 6,316 daripada jumlah tersebut telah berjaya dikesan.

"Kebanyakkan mereka masih lagi meneruskan pengajian di pusat-pusat tahfiz, sekolah swasta, Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang tidak berdaftar dengan pihak kementerian.

"Baki selebihnya iaitu 3,210

pelajar masih lagi sedang dikesan oleh pihak JPN Kelantan," katanya.

Muhammad Zahari berkata, JPN Kelantan sedang memperhebatkan usaha mengesan pelajar tersebut.

Katanya, jumlah itu merupakan pelajar yang tidak mempunyai sebarang rekod menyambung pengajian dengan mana-mana institusi pendidikan.

"Kita tidak menolak kemungkinan penghijrahan keluarga keluar dari negeri ini menjadi punca kepada kegagalan mengesan pelajar berkenaan.

"Bagaimanapun, JPN Kelantan sentiasa komited mengesan pelajar-pelajar ini dan menjadikan perkara tersebut sebagai agenda utama di setiap sekolah di seluruh negeri," katanya.

Muhammad Zahari berkata,

Jawatankuasa Program Sifar Murid Cicir telah diaktifkan bagi menggerakan agenda ini bagi mencapai matlamat kita untuk mengatasi masalah tersebut.