KOTA BHARU - Yayasan Pembangunan Pondok menyerahkan sumbangan pakaian jubah dan kitab kepada 130 pelajar Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir yang ditimpa musibah kebakaran, dua minggu lalu.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Masitah Ibrahim berkata, sumbangan bernilai RM8,000 itu merupakan keperluan semasa pelajar-pelajar pondok tersebut.

“Saya menghubungi pihak pondok dan mereka maklumkan pakaian dan kitab semua hangus terbakar.

“Maka hari ini saya melalui yayasan datang dan melihat sendiri keadaan disini sambil menyampaikan sumbangan jubah dan kitab sebagaimana yang telah mereka maklumkan,”katanya kepada media disini.

Menurutnya, pihak pondok berhasrat untuk membina semula bangunan baru di tapak yang sama dan pelan pembangunannya juga telah siap.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, pihak Yayasan akan berusaha menguruskan pendakwaian baru menerusi Bajet 2018 untuk sekolah tahfiz yang mengalami kebakaran.