KOTA BHARU - Cuaca panas dan jalan berbukit merupakan antara cabaran buat pengayuh warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 72, atau lebih dikenali sebagai Pak Wan bersama juru gambar Bernama Kelantan, Shahuri Awang, 31, untuk menamatkan kayuhan kembara sejauh 3,000 kilometer (km) di sini semalam.

Kayuhan terbabit mengambil masa selama 43 hari, turut menjelajah Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand.

Jelajah berkenaan mendapat kerjasama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dan tajaan syarikat kosmetik Sweetiey dengan kerjasama Hotel Grand View (GRV) dan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Menurut Pak Wan, sepanjang misi kayuhan beliau, cuaca panas terik amat dirasai di samping kawasan berbukit yang agak menyukarkan misi kayuhan mereka pada mulanya.

“Namun Pak Wan anggap semua itu cabaran untuk teruskan kayuhan dan menamatkan siri jelajah ini dan yang pastinya ia pengalaman manis buat saya dan juga Shahuri yang pertama kali menyertai kayuhan bersama saya.

“Sebelum ini saya sering lakukan kayuhan solo namun kali ini ia berlainan apabila ditemani Shahuri dan kami turut mendapat perhatian orang ramai apabila singgah di satu-satu kawasan dan ia lebih memberi semangat kepada saya untuk meneruskan siri jelajah ini hingga ke penamat,” katanya kepada media di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerajaan  Negeri, Abdul Rahman Yunus, Timbalan Pengarah Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan, Anwar Abu Bakar, Presiden Kemudi, Mohd Zailani Abd Rahman serta Pengurus Besar GRV, Vincent Chua.

Pak Wan berkata, beliau dalam perancangan menyertai kayuhan bersama Persatuan Pengguna Sarawak dan melalui perbincangan itu Pak Wan akan menjadi ikon untuk Tahun Melawat Sarawak melalui sambutan yang akan diadakan September nanti.

“Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dan saya amat bersyukur di atas kejayaan mencipta nama di Malaysia Book of Records,” katanya,

Sementara itu isteri Pak Wan, Faridah Daud, 65, berkata, walaupun risau dengan keadaan suami, namun hatinya lega apabila suaminya sering menghubunginya sepanjang masa.

“Saya berasa lega kerana, suami turut ditemani Shahuri, jadi segala sakit, pening atau kejadian berlaku, dia tidak berseorangan.

“Memang saya selalu beri galakkan kepada suami untuk terus aktif kerana ia merupakan minatnya sejak dahulu lagi dan kekal sihat dengan aktiviti ini walaupun melepasi separuh abad umurnya,” katanya.

Shahuri yang ditemui pula berkata, dia turut menyatakan keterujaan beliau menyertai siri kembara kayuhan bersama Pak Wan.

“Insya-ALLAH jika ada peluang selepas ini saya akan terus berkayuh dan menyertai Pak Wan dalam acara lain,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Pengayuh warga emas, Pak Wan atau nama sebenarnya Wan Hasyim Wan Mahmood memulakan misi kayuhan merentasi tiga negara pagi ini.
  • SUNGAI PETANI - Kira-kira 212 peserta mengisi hari minggu mereka dengan menjayakan Kayuhan Basikal Demi Alam Sekitar sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia anjuran Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (Aimst), semalam.
  • KOTA BHARU - Pengayuh basikal solo warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 70, meminta pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, mempertimbangkan permohonan untuk menjayakan misi kayuhan ke Eropah.
  • MUAR - Genap umur 70 tahun pada bulan hadapan, namun bagi pengayuh basikal solo Wan Hashim Wan Mahmood yang pernah mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBR), berhenti berkayuh tiada dalam kamusnya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.