KOTA BHARU - Pengguna dan peniaga masih ‘kelam kabut’ dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sudah berkuat kuasa 1 September lalu.

Tinjauan bersama Persatuan Pengguna Islam Kelantan di sekitar bandar Kota Bharu semalam mendapati pengguna dan peniaga rata-rata mereka belum cukup memahami sepenuhnya sistem berkenaan.

Didapati juga, ada peniaga yang masih belum memaparkan harga baharu di premis masing-masing dan tidak kurangnya mendakwa tidak tahu bagaimana untuk menentukannya.

Pengurus pemasaran kedai pembekal alat ganti kenderaan di Jalan Sultan Yahya Petra, Koh Chhew Lan berkata, setakat ini dia masih mengekalkan harga lama kerana tidak mahu menyusahkan pengedar dan pembeli.

“Pada hari pertama pagi-pagi lagi sudah ada yang hubungi bertanyakan harga sudah naik atau belum. Saya putuskan untuk beberapa hari ini kami jual dengan harga lama.

“Kami kena kira semula berapa sepatutnya harga yang boleh dijual. Kena tahu berapa peratus perlu dinaikkan. Saya tidak mahu aniaya pembeli yang selama ini sokong perniagaan saya,” katanya kelmarin.

Katanya, dia juga mengarahkan pekerjanya untuk menjual barangan stok simpanan lama dengan harga asal dan jangan sesekali menaikkan nilainya  sehingga ia disenaraikan dengan jelas.

“Mungkin ambil masa sikit untuk saya laksanakan sepenuhnya SST. Kita tidak boleh terburu-buru. Tidak boleh ambil kesempatan untuk kaut untung dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Muhammad Afiq, 29, berkata, pada hari pertama SST dia terkejut apabila kadar tambah nilai perkhidmatan prabayar yang diperolehnya sangat berbeza daripada sebelum ini.

“Saya 'top-up' RM10 tapi dapat RM9.43 sahaja. Apabila ditanya penjual memaklumkan itu adalah caj SST. Kita tahu tidak semua rakyat kaya. Ini amat mengejutkan rakyat dan kami berharap kerajaan mengambil serius perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Kelantan, Dr Ibariyah Ibrahim berkata, kerajaan perlu membuat semakan semula terhadap caj SST yang dikenakan terhadap perkhidmatan prabayar.

“Saya juga nasihatkan peniaga untuk tidak mengambil kesempatan dengan terlaksananya SST dan pengguna juga perlu berbelanja dengan bijak.

“Setakat ini banyak aduan yang kami terima mengenai caj untuk perkhidmatan prabayar kerana bagi mereka ia tidak patut,” katanya.