KOTA BHARU - Tujuh kedai makanan popular yang sentiasa dipenuhi pelanggan di sekitar daerah ini diarah tutup kerana kotor.

Antaranya ada yang meletakkan pinggang mangkung atas lantai dan paip air yang disambung melalui longkang.

Salur paip air yang dibuat melalui longkang tidak menepati piawaian kebersihan yang sepatutnya dititik beratkan oleh peniaga.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Ahmad Robert Abd Rahim berkata, jumlah itu daripada keseluruhan 14 premis yang diperiksa pada Operasi Bersepadu MPKB-BRI bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu tadi.

Katanya, arahan penutupan berkuat kuasa serta-merta selama 14 hari sehingga 30 Julai ini bagi kerja-kerja pembersihan dan kompaun turut dikenakan terhadap pengusaha mengikut Undang-Undang Kecil MPKB dan Akta Makanan 1983.

“Kedai sentiasa dipenuhi orang dengan kereta berderet di luar premis seolah menjadi petunjuk makanannya sedap, namun hakikatnya peniaga tidak menghiraukan kesihatan pelanggan dengan cara membasuh pinggan mangkuk atas lantai kotor, malah sanggup menggunakan paip air yang disambung melalui longkang.

“Operasi yang kita jalankan bukan bertujuan menghukum tetapi untuk meningkatkan kesedaran pengusaha mengenai kepentingan kebersihan premis dan makanan yang disaji kepada pelanggan,” katanya.