BACHOK – Seorang klien Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) Bachok enggan kembali ke Kuala Lumpur sebaliknya memilih untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di sini.

Kim,25, (bukan nama sebenar) yang berasal dari Kuala Lumpur kini semakin pulih setelah mengikuti program di CCRC selama sembilan bulan sejak 28 Mei 2012.

Menurutnya, Tahun Baru Cina ini memberi semangat baru untuk dia berubah dan menjadi seorang manusia lebih baik tanpa dadah sejak terjebak dengan gejala itu pada usia 20 tahun.

“Sempena kedatangan Tahun Baru Cina ini saya ingin berubah dan insaf. Saya memilih untuk berkhidmat di sini selepas selesai semua sesi pemulihan di sini.

“Saya enggan pulang ke Kuala Lumpur kerana tidak yakin untuk berdepan semula dengan cabaran di sana. Saya bimbang akan kembali terlibat dengan dadah jika kembali ke sana yang dipenuhi dengan rakan yang terlibat dengan dadah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kim berkata, sebelum ini dia pernah dikurung di dalam bilik oleh ibunya selepas mengetahui dia terlibat dengan dadah, tetapi itu semua tidak memberi kesan.

Tiba di suatu peringkat, selepas menghadapi begitu banyak tekanan dan kecelaruan minda akibat dadah, dia meminta abangnya untuk menyerahkannya ke balai polis untuk memulihkan keadaan.

“Pada mulanya abang juga enggan membawa saya ke balai polis kerana dia bimbang jika saya tidak dapat menghadapi kenyataan untuk pemulihan.

“Selepas dimasukkan ke sini, saya sering berhalusinasi akibat pengambilan syabu sebelum ini. Saya jadi pemarah dan bercakap sendirian kerana gangguan mental.

"Tetapi dengan bantuan semua kaunselor dan kakitangan di sini, mereka membimbing saya untuk menghadapi dunia sebenar tanpa bergantung dengan dadah,” katanya yang pernah bekerja sebagai penari kelab malam.

Kim berkata, ibu dan abangnya ada menziarahi bulan lepas dan mereka gembira melihat perubahan dirinya yang semakin pulih.

Ingin cari ibu selepas terputus hubungan

Bagi seorang lagi klien, Ling,47, (bukan nama sebenar), dia ingin mencari ibunya di Bagan Ajam, Pulau Pinang sekiranya dibebaskan kelak.

Katanya, sejak dimasukkan ke CCRC, pada 13 April 2012, dia tidak pernah lagi bertemu ibunya dan tidak tahu di mana keluarganya berada.

“Kali terakhir saya pulang ke rumah dalam keadaan khayal sebelum ditangkap. Ketika itu saya lihat rumah sudah hampir dirobohkan oleh Kerajaan Negeri, untuk apa saya tidak tahu.

“Kini saya tidak tahu di mana mereka tinggal. Tetapi baru- baru ini kaunselor saya ada menghubungi keluarga dan saya amat gembira mengetahui mereka masih ada di Pulau Pinang. Jadi saya berhajat untuk bertemu ibu selepas dibebaskan nanti,” katanya yang kali kedua memasuki CCRC Bachok selepas kali pertama pada 2008.

Ling berkata, dia terlibat dengan dadah sejak 30 tahun lalu apabila bekerja sebagai pelayan kedai makan bersama kakaknya.

Kakaknya yang juga seorang penagih memperkenalkan heroin kepadanya. Akibat pengambilan heroin yang berlebihan, kakaknya meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.

Kini Ling terpaksa menghadapi hukuman dua tahun untuk pemulihan seperti perintah mahkamah.

Sementara itu, Persatuan Buddha Negeri Kelantan telah menziarahi CCRC untuk meraikan klien mereka sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

Pengerusinya, Loo Choo Siang berkata, ini adalah kali pertama pihaknya mengadakan lawatan itu sebagai salah satu agenda khidmat masyarakat mereka.

“Di bawah jawatankuasa persatuan ini terdapat 10 buah gabungan persatuan Buddha kawasan yang bernaung bersama kami.

“Selain di CCRC Bachok, kami juga menziarahi klien di CCRC Jeli, Pusat Pemulihan Akhlak Machang, pusat pemulihan dadah swasta (di Tumpat dan Jeram Pasu, Pasir Puteh), Penjara Pengkalan Chepa dan peserta Program Pemasyarakatan di sebuah kem tentera,” katanya.

Dalam majlis itu, semua klien mendapat sumbangan daripada Persatuan Buddha yang disampaikan Loo dan Pengarah CCRC Bachok, Hasmah Yusoh.

Manakala, Hasmah yang ditemui berharap semua klien akan menghargai peluang kedua yang diperolehi mereka untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan.

Katanya, peluang terbuka ini adalah bagi melihat rakyat hidup aman dan harmoni tanpa dipengaruhi dadah yang membahayakan bukan sahaja diri mereka tetapi juga mengancam negara.