MACHANG - Lebih 3,000 penduduk di sekitar Mukim Joh, dekat Labok di sini, diancam kera liar yang bukan sahaja menimbulkan kebimbangan tetapi turut menjejaskan kehidupan mereka.

Dakwa mereka, haiwan berkenaan sering menceroboh kediaman mereka untuk mencuri makanan, pakaian dan peralatan dapur.

Kampung terlibat termasuk Kampung Lalang Luas, Pak Gombak, Kubang Belut, Joh, Maka dan kawasan perumahan berdekatan.

Penduduk, Rafeah Daud, 63, berkata, haiwan tersebut seolah-olah tidak takut kepada manusia dan masuk ke rumahnya serta jiran hampir setiap hari.

Katanya, pantang ada makanan, semuanya dilarikan haiwan tersebut termasuk susu tepung, roti, dan telur.

“Makanan letak dalam plastik pun kena ambil, ada masa bekas plastik pun dibawa lari.

“Bayangkan, mak cik jeruk 30 biji telur itik dalam satu bekas plastik yang ditutup rapat, habis licin sekelip mata dimakan kera, pandai kera ini buka,” katanya.

Rafeah yang lebih mesra disapa Mak Ngah berkata, keadaan tersebut berlarutan sejak dua tahun lalu dan haiwan itu bergerak dalam satu kumpulan.

Katanya, pelbagai cara dilakukan untuk menghalang haiwan itu masuk ke rumahnya, namun tidak berjaya malah menjadi lokasi tetap haiwan itu setiap hari.

Tambahnya, buah-buahan sekitar rumahnya juga turut dimakan dan dimusnahkan tersebut.

“Kawasan kampung ini boleh dikatakan banyak pokok buah, tapi tak dapat nak rasa hasilnya, semua rosak.

“Kalau seekor dua, berani juga lah nak halau, kalau yang datang dalam kumpulan, mak cik takut,” katanya.

Penduduk, Siti Aisyah Daud berkata, bumbung rumahnya rosak teruk terutama di bahagian dapur akibat dimusnahkan haiwan itu.

Katanya, semua makanan di rumahnya perlu disorokkan sebaik mungkin agar tidak dicuri.

“Macam-macam kami dah buat, tapi kera ini macam tahu kat mana kami sorok makanan, akhirnya kami yang berputih mata.

“Kami percaya haiwan ini tinggal di estet dekat-dekat sini, dan keluar untuk cari makanan,” katanya.

Kemalangan akibat kera

Penduduk Kampung Pak Gombak, Siti Haryati Ismail berkata, dia cedera di tangan apabila motosikal dinaikinya diterkam haiwan liar itu, baru-baru ini.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

“Saya memang nampak ada kumpulan kera tepi jalan tapi sebaik lalu tempat itu, seekor kera tiba-tiba terkam motosikal saya hingga saya kemalangan.

“Masa itu saya tak bawa makanan pun dan tak tahu kenapa ia menerkam ke arah saya tiba-tiba,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Selain mencuri makanan di rumah penduduk dan berkeliaran sekitar kampung, haiwan itu juga dikatakan sering berkumpul di kawasan masjid hingga menyebabkan kerosakan.

Bilal Masjid Ismaili, Mukim Joh, Nik Hassan Nik Mahmud berkata, lambang bulan bintang di kubah masjid telah rosak beberapa kali selain bumbung masjid.

Katanya, buah-buahan termasuk kelapa di kawasan masjid juga turut dirosakkan haiwan tersebut.

“Perkara ini dah dimaklumkan pada pihak berwajib, kami harap tindakan segera diambil.

“Jika masalah ini dibiarkan, boleh datangkan ancaman terutama pada kanak-kanak,” katanya.

Basmi 131 kera liar

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya memandang serius aduan diterima dan telah menjalankan operasi pada 12 dan 14 April lalu sekali gus berjaya membasmi 131 kera liar sekitar kawasan tersebut.

Katanya, selain menjalankan operasi membasmi, pihaknya juga akan memasang perangkap di kawasan itu.

“Buat masa ini, perangkap telah dipasang di kawasan berdekatan iaitu di Kampung Merbau Salam yang mana berdekatan Estet Sungai Bagan.

“Operasi membasmi haiwan liar itu akan diteruskan dari masa ke masa dan kami mengharapkan kerjasama orang ramai bagi memantau perangkap dengan meletakkan umpan.

"Sekiranya perangkap itu mengena, penduduk diminta memaklumkannya kepada  pihak jabatan untuk tindakan seterusnya," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.