GUA MUSANG - Usaha untuk membawa keluar 462 pelajar Orang Asli bagi memulakan sesi persekolahan pada tahun ini menerusi jalan darat akan dilakukan sehingga 15 Januari ini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan (Jakoa) Terengganu/Kelantan, Nik Man Nik Ya berkata, kesukaran untuk membawa keluar pelajar berkenaan adalah disebabkan keadaan jalan yang rosak teruk serta jambatan runtuh.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini, laluan ke Pos Gob dan Tohoi, sudah boleh dilalui namun Pos Bihai dan Belatim masih berdepan dengan kesukaran kerana jambatan Sungai Remau runtuh.

"Sebelum ini, seramai 462 pelajar di empat pos pedalaman di daerah ini tidak dapat memulakan sesi persekolahan kerana hujan lebat sehingga menyebabkan mereka terputus hubungan apabila sungai dan jambatan ditenggelami air.

"Namun, kini cuaca sudah kembali pulih seperti sedia kala tetapi kita berdepan kesukaran apabila kondisi jalan teruk. Beberapa cubaan untuk masuk ke kawasan berkenaan dilakukan namun masih gagal.

"Kita baharu sahaja memutuskan dalam mesyuarat terkini untuk mencuba jalan darat menggunakan pacuan empat roda sehingga 15 Januari ini kerana dua pos berkenaan (Gob dan Tohoi) sudah boleh dilalui," katanya lagi.

Tambah Nik Man, sekiranya pelajar di pos berkenaan masih belum dapat dibawa keluar sehingga tarikh tersebut, Jakoa akan menggunakan bantuan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Kita memilih langkah ini untuk menjimatkan kos dan mencuba jalan darat selagi boleh. Namun, sekiranya tidak berhasil, kita akan gunakan pengangkutan udara.

"Keputusan ini dibuat agar pembelajaran pelajar Orang Asli tidak tertangguh terlalu lama ekoran faktor jambatan runtuh dan jalan balak yang rosak teruk.

"Situasi ini lebih kurang sama dengan bencana Bah Kuning 2014, di mana seramai 500 pelajar di 20 kampung di pos pedalaman terpaksa dibawa keluar menggunakan helikopter JBPM," katanya lagi.                      

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KULIM - Laluan Sungai Ular - Serdang akan dibuka sepenuhnya kepada semua laluan menjelang 12 tengah malam esok apabila kerja pembinaan jambatan sementara telah siap.
  • CHENOR - Susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ke Pekan Tajau sememangnya wajar diwujudkan seiring cadangan pembinaan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (LCRL) di Daerah Maran, di sini.
  • KUANTAN - Kerajaan diminta mempercepatkan kelulusan permohonan membaik pulih dan melebarkan Jalan Panching, di sini, khususnya jalan di hadapan Kem 4 Briged Mekanize bagi memberi keselesaan kepada penduduk dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.
  • SHAH ALAM - Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi memaklumkan peruntukan sebanyak RM1.37 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) digunakan untuk pembangunan jalan luar bandar bagi daerah Klang.
  • KUALA PILAH - Laluan simpang masuk Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, sering disalah guna orang awam yang bertindak meletakkan kenderaan untuk singgah di kedai makan berhampiran.