TUMPAT - Etak salai yang sinonim dengan rasa lemak masin kini didatangkan dengan variasi tiga rasa.

Selain rasa aslinya iaitu lemak masin, ada pengusaha memproses etak dengan rasa manis dan pedas.

Kreativiti Zulhairi Abdul Razak, 35, dari Kampung Jal Kechik memberi pulangan lumayan padanya.

Zulhairi berkata, apabila ada etak perisa manis dan pedas, penggemar etak akan membeli ketiga-tiga rasa itu.

“Saya memperkenalkan etak tiga rasa sejak setahun lalu. Alhamdulillah ia mendapat sambutan, malah etak pedas paling laris,” katanya.

Menurutnya, etak tersebut diproses seperti biasa dengan campuran rempah ratus yang diperap beberapa jam dengan campuran bawang putih, halia, serai, halba dan garam selama dua jam.

Katanya, seawal jam 5 pagi dia akan mula memproses etak dengan menyalainya menggunakan bara sabut kelapa.

“Bagi memproses etak tiga rasa itu, saya bahagikan kepada tiga bahagian. Untuk etak manis, saya akan taburkan gula ketika etak itu masih panas selepas disalai.

“Untuk etak pedas pula saya taburkan serbuk cili dan perencah resipi saya. Yang lemak masin itu rasa asli etak salai,” katanya.

Zulhairi berkata, dia mewarisi kepandaian memproses etak daripada ibunya dikenali sebagai Fatimah yang turut berniaga etak di pasar Siti Khatijah Kota Bharu.

Katanya, sepanjang cuti Aidilfitri lalu, etaknya habis dijual sebanyak 45 kilogram dalam masa tiga jam.

“Saya berniaga seawal jam 8 pagi di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Batang.

“Kalau hari biasa hanya 20 kilogram etak dijual. Biasanya bekalan etak ini diperoleh dari Terengganu dan Thailand,” katanya.