TANAH MERAH - Seorang ibu di Alor Pasir buntu selepas anaknya yang mengalami masalah lebihan air dalam kepala sejak dilahirkan, kini mengalami jangkitan kuman sehingga kepala anaknya membenjol.

Che Siti Noor Azreen Che Ishak, 23, berkata, anaknya, Nur Qhayla Rania Mohd Firdaus, sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Saya terpaksa berulang alik ke hospital bagi rawatan Qhayla, untuk membuang lebihan air di kepalanya yang kian hari membesar dan benjol.

"Kini masalah Qhayla lebih serius apabila air dalam kepalanya bertambah ekoran ia dijangkiti kuman dan dia juga turut muntah jika alami lebihan air dalam kepalanya," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Che Siti Noor, Qhayla juga perlu menjalani rawatan suntikan dan jika tidak disuntik, dia akan sakit serta muntah.

"Saya semakin buntu dengan keadaan anak saya ini yang ada ketikanya tidak berhenti menangis menangung kesakitan.

"Sejak akhir-akhir ini juga badan Qhayla semakin menyusut dan kurus kerana tidak boleh makan dan hanya bergantung pada susu yang diminum melalui tiub khas melalui hidungnya," katanya.

Menurutnya, dia bimbang dengan masalah kesihatan anaknya yang semakin merosot sejak akhir-akhir ini.

"Suami, Mohammad Firdaus, 26, juga tidak sampai hati tinggalkan Qhayla dan saya sehingga menyebabkan dia juga tidak bekerja semata-mata untuk memantau kesihatan anak dan membantu saya menjaga Qhayla.

"Setakat ini suami bekerja sendiri dan kami hanya memperoleh bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan.

Menurutnya, apa yang diharapkan kini agar ada pihak sudi membantu ekoran dia juga tidak mempunyai kenderaan untuk membawa anaknya ke hospital menjalani rawatan dan terpaksa menaiki teksi.

"Harapan saya agar kesihatan Qhayla pulih dan dia kembali ceria seperti kanak-kanak seusianya," katanya.

Sebarang bantuan susulan orang ramai boleh salurkan melalui nombor akaun  Maybank 153056463889 atas nama ibu Qhayla, Che Siti Nor Azreen Che Ishak.