TUMPAT - "Saya hanya ingat mati." Demikian menurut seorang pekerja stesen minyak apabila diacukan pisau oleh penjenayah dalam kejadian cubaan samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Kampung Belukar, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.05 malam itu, mangsa, Maheran Hashim, 33, turut bergelut dengan penjenayah terbabit demi menyelamatkan wang jualan petrol RM40 di tangannya.

Bagaimanapun, cubaan samun itu gagal apabila rakan sekerja mangsa menjerit meminta tolong dan kebetulan ada pelanggan datang mahu mengisi minyak.

Menurut Maheran, ketika kejadian, dia didatangi dua lelaki menunggang motosikal Honda EX5 yang mahu mengisi petrol di pam.

"Saya tak syak apa-apa, dan layan mereka seperti pelanggan lain bila mereka minta isikan petrol di tangki motosikal sebanyak RM5.

"Dia (pembonceng) bayar petrol itu tapi sebaik saya berpusing ke belakang, dia keluarkan pisau dan acukan di pinggang saya. Seorang lagi tunggu atas motor berhampiran pam minyak," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, panik dengan situasi itu, dia segera lari menyelamatkan diri ke pam sebelah tetapi ditolak lelaki itu menyebabkannya terjatuh.

"Ketika kami bergelut kerana dia mahu rampas wang di tangan saya, pisau lelaki itu terjatuh.

"Saya hanya ingat mati bila nampak pisau di tangan lelaki itu. Mujurlah rakan sekerja saya menjerit minta tolong. Nasib ada sebuah kereta masuk untuk isi petrol menyebabkan dua lelaki itu melarikan diri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan mengesan penjenayah terbabit.