KOTA TINGGI - Tindakan pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Tinggi berjaya menangkap dua ekor ular tedung hitam dalam dua kejadian berasingan, semalam.

Pegawai APM Kota Tinggi, Mohd Sarul Nizam Khirudin berkata, dalam kejadian jam 9 malam, anggotanya berjaya menangkap haiwan berbisa itu yang menyorok di sebalik periuk.

“Kejadian berlaku di Felda Simpang Waha di mana pihak APM dapat panggilan mengenai ular berbisa.

“Pemanggil menceritakan terdapat ular hitam di bahagian dapur rumah selepas masuk melalui lubang dan terus bersembunyi. Semasa anggota kami sampai, ular tersebut menyorok di sebalik periuk,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Sarul Nizam berkata, kes kedua melibatkan tangkapan ular sama di Batu 1 Kampung Jawa di mana kehadiran ular itu disedari pembantu rumah yang ketika itu sedang mengemas sebelum terdengar bunyi riuh burung di luar.

Menurutnya, selepas melihat di luar rumah, pembantu rumah dapati ada seekor ular hitam sedang mengejar burung yang berterbangan bersembunyi di rimbunan pokok buluh hiasan di halaman.

“Selepas memaklumkan kepada majikannya seterusnya menghubungi talian 999 dan selepas mendapat maklumat anggota kita terus bergegas ke lokasi,” katanya.

Tambahnya, beliau turut menasihati orang ramai agar jangan bertindak berani dan mengambil langkah sendiri apabila berdepan dengan haiwan berbisa itu.

Segera hubungi talian kecemasan agar anggota terlatih dan mempunyai peralatan lengkap dapat membantu.