KLUANG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menumpukan tiga kawasan kerap berlaku kemalangan maut sepanjang Op Selamat 13 yang dilancarkan bermula 8 hingga 22 Jun ini sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, tiga kawasan yang menjadi tumpuan melibatkan laluan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) kedua-dua arah dan jalan negeri.

Menurutnya, kawasan tersebut ialah KM50 hingga 73 Lebuhraya Utara Selatan kedua-dua arah, KM71 hingga 75 Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam (di Simpang Renggam) dan KM41 hingga 60 Jalan Batu Pahat–Mersing (berhampiran Taman Sri Lalang).

“Polis perlu menumpukan jalan kawasan tersebut berikutan kerap kali berlaku kemalangan.

“Kaedah ini diguna pakai berikutan beberapa siri Op Selamat sebelum ini membuahkan hasil dan jumlah kemalangan khususnya melibatkan kematian semakin menyusut jika dibandingkan tahun-tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media selepas mengedarkan bungkusan berserta risalah kepada pengguna jalan raya bersempena dengan Op Selamat 13 di Jalan Batu Pahat- Mersing berhampiran Taman Idaman, semalam.

Mohamad berkata, pihaknya menggunakan empat kaedah penugasan di bawah kawal selia trafik untuk melaksanakan operasi berkenaan iaitu rondaan, Ops Lancar, Tindakan Penguatkuasaan Dan Response Team.

Katanya, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap kesalahan pemandu yang memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong giliran, memandu secara laju dan berbahaya serta tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

Dalam Op Selamat 13, IPD Kluang turut berkolaborasi dengan lain-lain agensi melalui ‘Emergency Response Team (ERT)’ yang terdiri daripada agensi seperti Plus, Lembaga Lebuhraya Malaysia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan lain-lain.