• Ayub menunjukkan botol minyak 5kg yang diseleweng. Ayub menunjukkan botol minyak 5kg yang diseleweng.
1 /

ULU TIRAM – Hasil pemantauan selama sebulan ke sebuah premis di Kawasan Perindustrian Tiram, di sini membawa kepada penemuan sindiket penjualan minyak masak bersubsidi untuk kegunaan industri bernilai RM125,000.

Kegiatan licik sindiket ini bagaimanapun berjaya dilumpuhkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri dengan rampasan 30,000 kilogram minyak masak subsidi.

Pengarahnya, Ayub Abd Rahman berkata, dalam serbuan jam 6.30 pagi semalam, seramai lima anggotanya turut menyita sebuah lori tangki yang digunakan oleh sindiket berkenaan bagi membawa keluar minyak masak tersebut untuk dijual kepada pihak industri setempat.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, premis dijadikan tempat pengumpulan minyak masak yang dibeli dengan harga subsidi dari pemborong dan peruncit di Pahang dan Selangor sebelum ia dijual semula kepada pihak industri di negeri ini.

“Harga pasaran bagi minyak masak subsidi adalah RM2.50 sekilogram manakala harga untuk industri sebanyak RM3.20 sekilogram. Sindiket ini mengambil keuntungan dengan menjual semula barangan kawalan tersebut kepada pihak industri dengan harga yang lebih murah.

“Ini merupakan rampasan kali keempat dan yang terbesar pada tahun ini, bagaimanapun kita masih mengesan dalang sindiket tersebut memandangkan tiada tangkapan dibuat ketika serbuan dijalankan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, semalam.

Ayub berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket tersebut beroperasi sejak tiga bulan lalu sebelum pihaknya melakukan pemantauan mengenai kegiatan penyelewengan barang kawalan berkenaan.

Katanya, rampasan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan bekalan minyak masak di negeri ini namun pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi membendung kegiatan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Bekalan 1974 dan sekiranya disabit bersalah, boleh dihukum denda RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi syarikat dan perbadanan pula boleh didenda RM250,000 di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.