JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Johor (Jaij) akan menjadikan Kitab Matla’ al-Badrin wa Majma’ al-Bahrain sebagai sukatan pelajaran semua sekolah agama (SA) di negeri ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Agama (Bahagian Pendidikan Islam) Jaij, Anoar Sarimin berkata, sukatan yang digunakan untuk darjah empat sebelum ini dilaksanakan untuk darjah lima pada tahun depan dan kemudiannya darjah enam serta darjah khas.

Katanya, kitab berkenaan juga akan diterbitkan dalam versi baharu dengan ejaan dan gaya bahasa yang sesuai pada masa kini.

“Kita juga akan menjawikan semula kitab berkenaan mengikut kaedah yang baharu agar mudah difahami,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir Majlis Pra-pelancaran Sambutan 100 Tahun Pendidikan Islam Johor (1918-2018) di Pusat Islam, di sini, semalam.

Program disempurnakan oleh Pengarah Jaij, Md Rofiki Shamsudin.

Jaij akan menjadikan Kitab Matla’ al-Badrin wa Majma’ al-Bahrain sebagai sukatan pelajaran semua sekolah agama di negeri ini.

Dalam pada itu, Anoar berkata, Jaij fokus memperkasakan pengkajian semula silibus atau sukatan pelajaran SA di Johor dari semasa ke semasa.

Katanya, mereka juga akan memperkasakan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran dengan bera­saskan teknologi moden.

“Kita mahu beri tumpuan kepada program pendidikan agama supaya lebih kondusif lagi dari segi pembangunan dan sebagainya.

“Malah, kita turut berhasrat pendidikan SA ini tidak terhenti setakat di darjah khas sahaja, malah kita akan berusaha untuk kembangkannya lagi hingga ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, Jaij turut berhasrat memperkukuhkan sistem pendidikan tahfiz yang diyakini pendidikan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan pendidikan Islam di negeri ini.