JOHOR BAHRU – Perkasa Johor menentang sekeras-kerasnya sebarang pengiktirafan ke atas Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) dan mendesak kerajaan supaya mempertahankan sistem sedia ada yang mana mengekalkan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara ini.

Naib Yang Dipertua 1 Perkasa negeri, Anizam Wan Hassan berkata, pengiktirafan UEC itu akan mengetepikan bahasa Melayu yang telah termaktub di dalam Perlembagaan sebagai bahasa Persekutuan.

“Sekiranya kerajaan mengiktiraf UEC bermakna pemimpin sedia ada telah melanggar Perlembagaan negara dan mengkhianati bangsa.

“Sebelum ini, pada 2016, Perkasa telah menganjurkan sidang meja bulat dan resolusi tentang UEC yang mana keputusannya kami bantah sekeras-kerasnya jika ia dilaksanakan dan sekali lagi, kali ini pendirian kami tetap sama.

“Selepas UEC diiktiraf dan bahasa Mandarin digunakan meluas, apakah lagi alasan supaya bahasa Cina tidak diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) meminta kerajaan untuk mengiktiraf UEC yang diambil oleh semua pelajar di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) bagi membolehkan mereka memasuki universiti awam di Malaysia.

Berikutan itu, Anizam juga mahu kerajaan bertindak tegas dan menolak tuntutan yang dibuat Dong Jiao Zong itu kerana ia akan menenggelamkan bahasa Melayu yang menjadi teras pendidikan di negara kita pada masa kini.

Beliau berkata, jika UEC dilaksanakan, ia akan membantutkan usaha kerajaan untuk meningkatkan perpaduan masyarakat berbilang bangsa di negara kita.