KLUANG - Keluarga mangsa hilang di Gunung Gua Rimau, di sini, berharap anak mereka berada dalam keadaan sihat dan dapat segera ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Ibunya, Jarina Hassan, 55, berkata, dia hanya mendapat tahu berita kehilangan anak keduanya, Muhamad Nizam Ahmad Ansar, 29, selepas dihubungi oleh penyelia tempat anaknya bekerja, kira-kira pukul 2 petang, semalam.

"Dia (penyelia) pada mulanya mahu bercakap dengan anak sulung saya dan ketika itu naluri sebagai seorang ibu kuat mengatakan ada sesuatu berlaku kepada anak saya kerana saya memang tahu dia (anak) ada pergi mendaki gunung.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pendaki sesat di Gunung Gua Rimau]

"Selepas didesak beberapa kali, baharulah penyelia anak saya beritahu yang anak saya hilang dan minta saya dan suami datang ke Kluang," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Operasi SAR di Hutan Lipur Gunung Belumut, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia bersama suaminya, Ahmad Ansar Gentong, 57, dan ahli keluarganya yang ketika itu berada di Kota Tinggi kemudian bergegas ke Kluang sebelum diberi taklimat operasi pencarian oleh pasukan penyelamat.

Katanya, dia yakin berdasarkan naluri seorang ibu, anaknya yang bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) kini berada dalam keadaan selamat dan berharap anaknya dapat ditemukan segera oleh pasukan SAR.

"Kali terakhir mak cik jumpa dia pada 1 Ogos lalu sewaktu dia pulang ke rumah kami di Mersing dan sebelum ini pun sewaktu zaman dia belajar, dia memang aktif dalam sukan lasak termasuk mendaki gunung.

"Sekarang ini mak cik banyak berdoa dan lakukan solat hajat agar semuanya berakhir dalam keadaan baik dan kali terakhir dia hubungi mak cik pada hari Sabtu lalu sebelum dia pergi mendaki gunung," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kehilangan Muhamad Nizam hanya disedari kira-kira pukul 5 petang selepas terpisah daripada kumpulannya sewaktu mendaki gunung tersebut bersama 35 lagi rakan sekerjanya.

Kumpulan itu yang diiringi empat orang jurupandu kemudian tiba di kaki gunung pada pukul 4.15 petang dan sebaik menyedari kehilangan mangsa, kumpulan itu mencari lelaki terbabit tetapi gagal, sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa, petang semalam.