KULAI - “Saya masih lagi trauma dan tetap terasa ada gegaran saat mahu baring,” luah Nordziakon Husnan, 32, yang terkandas di Lapangan Terbang Sapporo, Jepun sejak Rabu lalu.

Juruteknik yang bertugas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu melancong ke negara matahari terbit itu seorang diri pada awal bulan ini.

Nordziakon berkata, sehari sebelum gempa bumi dia gagal meneruskan penerbangan selepas pihak keselamatan di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Sapporo tidak menerima salinan pas masuk (boarding pass) pesawat yang dibawa.

“Pada 5 September, saya tiba di lapangan terbang jam 8.56 pagi (waktu Jepun) dan pintu pagar balai pelepasan ditutup pada jam 9.15 pagi, pihak keselamatan tidak membenarkan saya melepasi pemeriksaan keselamatan berikutan tidak menerima salinan pas masuk yang dibawa.

“Pegawai keselamatan beritahu saya perlu gunakan pas masuk yang dicetak di kaunter syarikat penerbangan di lapangan terbang itu sebelum saya dapati tidak ada pegawai bertugas di kaunter,” katanya di sini, hari ini.

Nordziakon berkata, dia berusaha mendapatkan penjelasan tentang masalah dialami dengan syarikat penerbangan, namun gagal hingga dia terpaksa menghubungi keluarga dan sahabat selain Umno Johor untuk memohon bantuan.

“Pagi pada 6 September pula berlaku gempa bumi kuat di sana (Jepun). Tak dinafikan saya berasa amat takut dan terasa telur sudah di hujung tanduk.

“Keadaan di lapangan terbang itu juga sedikit huru-hara apabila orang ramai panik terutamanya pelancong asing dan begitu juga saya. Ketika itu, saya hanya fikirkan keluarga,” katanya.

Menurutnya, kemudahan internet menjadi penghubungnya dengan keluarga dan sahabat terdekat untuk memohon bantuan dan mengetahui terdapat lima lagi rakyat Malaysia turut terkandas di lapangan terbang itu.

“Saya bersama pelancong lain diberikan sebotol air mineral dan dua keping biskut kira-kira jam 12 tengah hari pada hari yang sama. Saya tiada pilihan dan perlu mengambilnya untuk bertahan.

“Saya bersyukur pihak keselamatan Jepun kemudiannya bantu semua pelancong dan penumpang terkandas selain diberi tempat perlindungan kepada kami yang terletak kira-kira 7 Kilometer dari lapangan terbang dan makanan turut disediakan,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada semua pihak terutama Umno Johor, pentadbiran UTM dan rakan yang membantunya tiba dengan selamat ke tanah air.

Dalam pada itu, Nordziakon selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) kira-kira jam 8.15 pagi tadi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sapporo semalam dan sebelum transit di Bangkok, Thailand serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kepulangannya disambut isterinya, Aainaa Mardhiah Juraisan, 30, dan anaknya, Nursyahzani Nazita Aqilah, 6, serta beberapa wakil dari Badan Perhubungan Umno Johor yang membantu membawanya pulang.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa gempa bumi Jepun terkandas berjaya pulang]