PASIR GUDANG -  Projek pangsapuri di Taman Seri Molek Perdana, Plentong, di sini, yang mengalami pembangunan perlahan sejak 2013 lalu dijangka siap sepenuhnya menjelang September depan.

Jaminan tersebut diberikan pengarah syarikat yang bertanggungjawab memajukan projek berkenaan, Chok Kim Sin yang turut hadir pada pertemuan bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad dan sebahagian pembeli projek perumahan terbabit.

Kim Sin berkata, projek melibatkan 972 unit rumah terdiri daripada pangsapuri dua tingkat, kos rendah dan kos sederhana rendah itu kini sudah 95 peratus siap tetapi sedang menunggu kelulusan melibatkan beberapa aspek teknikal.

“Projek ini sebenarnya dari segi fizikal telah siap 95 peratus manakala dari segi infrastrukturnya pula telah siap 86 peratus. Kita hanya memerlukan lebih kurang RM5 juta sahaja lagi untuk menyiapkan sepenuhnya projek ini sebelum 31 Ogos ini.

“Selain itu, kami juga telah meminta bantuan daripada Syarikat Air Johor (SAJ) untuk membantu menyiapkan masalah sambungan perpaipan selain meminta bantuan teknikal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan projek ini melepasi piawaian Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC),” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Hadir sama pada pertemuan itu, Ketua Bahagian Pengurusan Projek Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Amiruddin Shah Hezan Shah.

Menurutnya, keseluruhan projek meliputi enam blok pangsapuri yang dibina atas tanah 8.5 hektar ini dijual dengan harga dari RM35,000 hingga RM250,000.

“Peralatan pembinaannya juga telah disediakan tetapi mengalami sedikit masalah. Namun, kami tidak lari dan masih tetap dengan janji untuk menyiapkan projek ini.

“Sehingga kini, terdapat 250 unit yang masih belum terjual dan selama ini kita jalankan pembinaan berdasarkan hasil jualan projek ini malah turut mengeluarkan modal sendiri,” katanya.

Sementara itu, Normala berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai perbincangan termasuk turun padang untuk melihat perkembangan projek.

Terdahulu, hampir 1,000 pembeli rumah pangsapuri di di sini, kecewa dengan sikap pemaju yang masih gagal menyiapkan projek tersebut, biarpun sebelum ini memberikan pelbagai janji.