MUAR - Sebuah video berdurasi dua minit 30 saat memaparkan sebuah stesen minyak disamun menjadi tular di laman sosial.

Video yang dikongsi oleh ribuan pengguna Facebook itu menunjukkan dua pekerja sedang bertugas diserang dan salah seorang dariapda mereka bertindak berani apabila melawan kumpulan penjenayah terdiri daripada tiga suspek yang juga menaiki motosikal.

Salah seorang yang bertugas sebagai juruwang di kaunter stesen minyak di Jalan Sulaiman, di sini, Ahmad Ainul Muqaffa, 20, ketika dihubungi berkata, tindakan berani yang dilakukannya itu didorong selepas melihat kumpulan penjenayah terbabit cuba membawa lari motosikalnya.

“Saya bertindak demikian selepas melihat motosikal saya dilarikan kerana itulah harta yang paling disayangi. Saya akui bertindak melulu terhadap penjenayah sehingga mendapat kecederaan namun ia dilakukan tanpa sedari.

“Perasaan memang sedih kerana hanya berbaki dua tiga bulan sahaja lagi motosikal itu akan habis dibayar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menceritakan kejadian terbabit, Ainul berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, dia bersama seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas syif malam didatangi dua lelaki menaiki motosikal sebelum diacukan parang.

“Ketika berada di dalam kaunter, saya melihat dua lelaki terbabit tidak semena-mena datang melulu ke arah pengawal keselamatan yang duduk di luar dan bertindak mengacu parang.

“Bagaimanapun, pakcik yang berusia 50-an itu tidak melawan dan ekoran itu, dia tidak diapa-apakan. Namun, saya sempat mendengar penjenayah memberikan amaran dengan mengatakan bahawa ini merupakan kejadian samun dan meminta agar kami tidak bertindak yang bukan-bukan,” katanya.

Menurutnya, salah seorang penjenayah terbabit kemudiannya melulu masuk ke pintu kedai dan menerpa ke arahnya.

“Sebelum itu, saya sempat menekan butang kecemasan ketika mereka menyerang pengawal keselamatan. Penjenayah terbabit tidak mengambil wang namun bertindak membawa lari motosikal saya menggunakan ‘master key’.

“Saya cuba melawan dengan membaling apa sahaja objek dan kerana itu, mereka melibas saya dengan parang sebelum dihentak dengan belakang bilah sebanyak dua kali di tengkuk,” katanya yang memaklumkan terpaksa menerima lima jahitan di bahu dan tiga jahitan di tangan kiri gara-gara pergelutan itu.

Ainul berkata, hampir dua tahun bekerja di stesen minyak terbabit, itu kejadian pertama kali menimpanya dan dia mengakui berasa trauma dan masih terkejut dengan situasi berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :