NUSAJAYA - Dun Johor merafak sembah takzim ke atas seluruh kerabat Diraja Kedah atas kemangkatan Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah hari ini.

Ia dizahirkan oleh Speaker Dun Johor, Tan Sri Mohamad Aziz sebelum sesi penggulungan ucapan perbahasan Bajet Johor 2016 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar kembali bersidang pada sebelah petang.

Mohamad turut meminta seluruh anggota Dun Johor membacakan Al-Fatihah dan bertafakur selama seminit serta mendoakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat.

Tunku Abdul Malik, 86, mangkat pada 1 pagi tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar akibat kegeringan.

Kemangkatan Tunku Abdul Malik menyusul lebih dua bulan selepas kemangkatan isteri baginda Raja Puan Muda Kedah, Tunku Hajah Raudzah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 21 September lepas. - Bernama