KLUANG - Gara-gara mengubah suai dan menunggang basikal secara berbahaya, 10 remaja lelaki ditahan dalam Ops Basikal Lajak selama tiga jam di sekitar daerah ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, dalam operasi bermula 5 petang semalam dan berakhir jam 8 malam tadi, pihaknya turut menyita basikal remaja terbabit sebagai usaha mencegah aktiviti tersebut.

Menurutnya, operasi tersebut telah dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang bertujuan membanteras aktiviti-aktiviti berbasikal lajak dalam kalangan remaja yang membahayakan diri sendiri serta orang awam yang lain di atas jalan raya.

"Operasi yang diketuai oleh seorang pegawai dibantu lima anggota dari cawangan BSPT IPD Kluang serta empat anggota sukarelawan polis (SPDRM) telah berjaya menahan 10 remaja berusia 10 hingga 12 tahun.

"Remaja tersebut ditahan ketika sedang  menunggang basikal lajak di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan remaja terbabit melakukan aktiviti mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad berkata, berikutan daripada penahanan remaja berkenaan kesemua ibu bapa  remaja yang ditahan telah dipanggil untuk mengambil anak mereka di cawangan BSPT.

Katanya, ibu bapa remaja tersebut kemudiannya diberi sesi kaunseling tentang bahaya dan risiko menunggang basikal lajak di atas jalan raya.

"Amaran keras telah diberikan kepada semua yang terlibat agar tidak mengulangi aktiviti mereka di masa hadapan.

"Kesemua basikal yang ditahan di dalam operasi ini telah disita di bawah Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.

"Saya berharap agar ibu bapa dapat memantau setiap pergerakan dan aktiviti anak mereka agar tidak terbabit dengan gejala seperti ini," katanya.