BAGI memudahkan jemaah haji dan umrah dilindungi daripada bakteria dan jangkitan penyakit lain, Orifix Sdn Bhd (Orifix) mengeluarkan produk yang memenuhi keperluan golongan tersebut.

Pengarah Eksekutif Orifix, Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff berkata, dengan pelaburan RM500,000 bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D), akhirnya berjaya mengeluarkan produk kebersihan diri dan sanitasi dikenali sebagai Waazu untuk kegunaan jemaah haji dan umrah.

“Saya pernah pergi umrah dan mereka meletakkan air di dalam botol plastik untuk berwuduk ketika di dalam penerbangan.

“Jadi saya berfikir kenapa tidak kita letakkan cecair yang boleh membunuh bakteria, tidak bertoksik dan memedihkan mata serta boleh digunakan untuk berwuduk,” katanya di Subang Jaya.

Menurut Dr Badrul, R&D yang dijalankan bagi menghasilkan Waazu mengambil masa hampir setahun bermula Mei tahun lalu sehingga Mei 2015, melalui inovasi yang dilakukannya.

“Untuk pengetahuan, Waazu bebas 100 peratus daripada sebarang alkohol, amat berkesan membunuh sehingga 99.9 peratus bakteria, patuh halal, selamat untuk kanak-kanak dan pelbagai lagi.

“Kerana itu, kami memberi tumpuan kepada pasaran jemaah haji dan umrah serta syarikat penerbangan sebagai permulaan,” katanya.

Ditanya mengenai pengeluaran Waazu, Dr Badrul berkata, buat masa ini Orifix mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 200,000 sebulan dan apabila berpindah ke kilang baharu pengeluaran tersebut akan berganda.

“Kami akan berpindah ke kilang baharu pada Oktober akan datang di Penang Science Park. Di sana kami menjangkakan pengeluaran Waazu boleh ditambah sehingga enam kali ganda kepada 1.2 juta sebulan.

“Buat masa ini, Waazu boleh didapati melalui ejen kami di setiap negeri selain boleh dibeli di laman web kami secara atas talian,” katanya.

Dr Badrul berkata, Orifix merancang menembusi pasaran antarabangsa dengan mengeksport Waazu ke Timur Tengah dan mendapatkan bantuan serta bimbingan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

“Kami menerima pelawaan syarikat penerbangan yang berminat menggunakan produk kami dalam penerbangan mereka dan perkara ini masih dibincangkan,” katanya.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAD-i prepaid musafir menjadi satu lagi strategi Al Rajhi Bank Malaysia (Al Rajhi) dalam usaha menyokong pertumbuhan perniagaan bank itu.
  • SYARIKAT produk penjagaan gigi Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd (Colgate) menyumbang 37,000 pek penjagaan mulut bernilai RM721,280 kepada jemaah haji di bawah Tabung Haji pada tahun ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.