BUKAN sahaja berdepan kekangan modal, bahkan usahawan muda ini terpaksa menangkis persepsi orang ramai yang beranggapan produk yang dijualnya memfokuskan hubungan seksual atau lebih mudah difahami sebagai ‘ubat kuat’.

Ketua Pegawai Eksekutif Disa Herbs Marketing, Mohd Yusri Mat Yatim, 35, berkata, segelintirnya beranggapan begitu pada awalnya menyebabkan dia sering dipandang negatif.

“Mereka ingat saya jual ubat kuat, ada juga yang segan-segan walhal mereka tidak tahu produk ini sebenarnya dapat membantu memperbaiki masalah dalaman wanita dan juga lelaki yang berhasrat mendapatkan zuriat selain untuk kegunaan kesihatan.

“Itulah tempoh enam bulan bermula Mac 2017 lalu, ketika saya berusaha memperkenalkan produk dan menjalankan testimoni kepada orang ramai untuk melihat keberkesanan produk Hebakboh X yang merupakan produk pertama keluaran syarikat Disa Herbs Markerting,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Baru Klang, baru-baru ini.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, meskipun dipandang negatif namun dia menganggap cabaran itu adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan.

“Ada orang suka, ada orang terima bahkan ada yang menolak, itulah lumrah. Namun begitu, ia menguatkan lagi semangat saya untuk mendekatkan diri dengan orang ramai bagi memberi penjelasan berkenaan kebaikan produk itu.

“Tatkala menerima cemuhan, alhamdulillah produk ini mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan juga keluarga terdekat yang mana kerja kuat ini turut dibantu adik saya, Mohd Fikree, 31,” katanya.

Mohd Yusri (kanan) bersama Sazali pada majlis menandatangani memorandum pelantikan.

Menurutnya, mereka memberikan hasil testimoni dan kesan penggunaannya hinggakan keberkesanannya disampaikan dari mulut ke mulut.

“Saya gembira apabila sebahagian daripada mereka memaklumkan bahawa masalah dalaman yang dihadapi dapat diatasi dan kehidupan mereka kembali normal.

“Ini adalah satu penghargaan buat saya dan syarikat, kami sangat menghargai maklum balas daripada para pelanggan,” katanya.

Berdepan kekangan modal

Bercerita mengenai modal permulaan perniagaan, anak kelahiran Sabak Bernam itu berkata, modal permulaannya hanya RM20,000.

“Kalau diikutkan jumlah itu memang tak cukup bagi menghasilkan produk termasuk urusan pengiklanan, promosi dan sebagainya yang memerlukan modal dan kos yang besar.

“Namun saya nekad, kami memulakan pemasaran produk dengan 1,000 unit kepada ejen dan juga stokis,” katanya.

Sehingga kini, katanya, terdapat 300 ejen dan 30 stokis yang mengambil dan mengedarkan produk ini di seluruh negara.

“Produk ini memang tak ada dijual di toko jamu atau melalui pemborong, kita memang tak bagi mereka jual.

“Langkah ini bagi mengelak produk Hebakboh X ditiru atau diciplak, selain memastikan mutu dan kandungan asalnya terjamin,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Yusri berkata, syarikat itu mahu membantu lebih ramai ejen dan stokis menjana pendapatan sendiri.

“Melalui cara ini kita dapat bantu mereka, kalau jual pada pemborong memang kita cepat kaya namun kita juga hanya membantu golongan pemborong untuk kaya.

“Saya yakin jika tolak pada pemborong, ejen atau stokis kita tak akan bertahan lama, bahkan kita akan hilang ‘testimoni’ yang pertama yang membuat ujian pada produk kita,” katanya.

Ilham berdasarkan pengalaman

Ketika ditanya bagaimana timbul idea menghasilkan produk itu, beliau berkata, ia bermula ketika dia dan isteri mencari produk bagi mengatasi masalah dalaman apabila isterinya, Norhamizah Md Radzi, 29, gagal hamil pada tiga tahun perkahwinan mereka.

“Pelbagai usaha kami lakukan termasuk makan macam-macam produk kerana mahu menimang anak cepat, namun isteri disahkan berhadapan masalah sakit puan.

“Atas faktor itu, kami menghasilkan produk ini yang menggabungkan 10 kandungan penting antaranya habbatus sauda, aloe vera, tribulus, catuaba dan butia,” katanya.

Setelah menjalankan beberapa kajian dan penyelidikan (R&D), Mohd Yusry berkata, beliau dan isteri, Norhamizah Md Radzi, 29, menjadi orang pertama menjalankan testimoni terhadap produk itu.

“Bukan sahaja isteri tetapi saya juga guna produk itu, ia fleksibel untuk kaum lelaki dan juga wanita.

“Dengan izin ALLAH dan berkat usaha serta sabar, isteri akhirnya disahkan hamil dan kini kami dikurniakan dua cahaya mata,” katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya menghebohkan keberkesanan produk itu kepada umum dan sehingga kini ia sudah terjual kira-kira 70,000 botol di seluruh negara.

“Kita letak sasaran 30,000 botol sebulan, alhamdulillah ia mencapai sasaran dan kini kita mahu memperkukuhkan nama dan jualan produk ini dalam negara sebelum memasarkan produk ke luar negara dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Kita bukan saja mahu bantu orang ramai sihat khususnya yang ada masalah dalaman sakit puan dan tuan, malahan juga dapat menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Produk pertama keluaran Disa Herbs Marketing itu dijual pada harga RM108 sebotol dan turut mengangkat atlet bina badan negara, Sazali Samad, 50, sebagai duta produk.

Produk Hebakboh X yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan ini berfungsi membantu dan merawat masalah dalaman wanita seperti keputihan, senggugut dan haid tidak teratur, manakala bagi lelaki pula yang berhadapan masalah mati pucuk, kencing tak lawas dan sebagainya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PROTON Holdings Bhd menjelaskan diskaun istimewa kepada ahli kesatuan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia, bukan kes istimewa.
  • SHOPEE, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara, melancarkan kempen 'Wang with Shopee' yang menawarkan ganjaran lumayan bernilai hampir RM1 juta.
  • PERKHIDMATAN perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab semakin mendapat sambutan di negara ini, sekali gus berjaya mencetuskan fenomena tersendiri menerusi sistem e-hailing. Bagaimana pun sistem itu rata-ratanya disertai golongan lelaki dan penyertaan wanita dilihat sangat terhad.
  • PAKAR Perabot Terpakai Shah Alam (iBoss), antara syarikat yang menjual perabot terpakai terkenal sekitar Lembah Klang sejak 2013, bakal menambah satu lagi cawangannya di Bangi tidak lama lagi.
  • DIIZ Industries Sdn Bhd (DIIZ), pengeluar dan pengedar produk perangsang baja, Spinox 8 menandatangani perjanjian dengan tiga syarikat dari Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu.