KOPERASI Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad (Co-opbank Persatuan), optimis mencapai sasaran produk Ar Rahnu Co-opbank Persatuan di kesemuanya 20 cawangan banknya lewat suku kedua tahun ini.

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, sehingga kini, produk Ar Rahnu Co-opbank berjaya dibuka di 12 cawangan banknya dan terbaru di cawangan Shah Alam.

Menurutnya, sejak Co-opbank Persatuan menawarkan produk Ar Rahnu, sambutan terhadap produk Ar Rahnu amat memberangsangkan.

“Prestasi pembiayaan Skim Ar Rahnu meningkat dengan ketaranya sebanyak 144 peratus dari RM5.98 juta pada 2016 kepada RM14.64 juta pada 2017.

“Seterusnya bank ini mahu terus menumpukan produk Ar Rahnu dan sasarkan juga untuk keluarkan pembiayaan melebihi RM170 juta menjelang tahun 2020,” katanya pada Majlis Perasmian Ar Rahnu cawangan Shah Alam, semalam.

Kamari Zaman berkata, selain menawarkan perkhidmatan Ar Rahnu di semua 20 cawangan Co-opbank Persatuan berperingkat tahun ini, bermula 2020 juga dibuka Ar Rahnu konsep kios sehingga 2028 secara usahasama koperasi terpilih.

“Kami juga merancang membuka Ar Rahnu Co-opbank Persatuan secara francais dari 2022 sehingga 2028 dengan sasaran 50 francais di seluruh Malaysia,” katanya.

Jelasnya, Co-opbank Persatuan mempergiatkan usaha meningkatkan pendapatan berasaskan fi dengan peluang perniagaan bersama rakan takaful dengan sasaran peningkatan perolehan pada kadar 15 peratus setahun dari RM2 juta pada 2018 kepada RM3 juta pada 2020.

Selain itu katanya, Co-opbank Persatuan kini dalam perancangan melaksanakan program ejen perbankan.

“Antara kemudahan disediakan adalah simpanan dan pengeluaran tunai, pindahan dana, bayaran pembiayaan dan pembukaan akaun simpanan.

“Melalui program ini, pelanggan boleh berurusan terus dengan Co-opbank Persatuan melalui ejen dilantik,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :