SHOPEE, platform e-dagang terkemuka, merancang untuk menambah bilangan usahawan dan jenama yang menjual kelengkapan persekolahan untuk menawarkan lebih banyak produk tersebut.

Pengarah Urusan Serantaunya, Ian Ho berkata, sejak dilancarkan lebih dua tahun lalu, Shopee menjadi platform pilihan untuk semua keperluan termasuk barang keperluan sekolah seperti pakaian seragam, beg, buku teks dan kelengkapan alat tulis.

“Dengan insentif seperti penghantaran percuma ke seluruh negara dan komisen sifar, semakin ramai ibu bapa dan pelajar yang memilih untuk membeli barang keperluan persekolahan secara dalam talian.

“Kami juga bekerjasama dengan jenama terkemuka untuk menawarkan lebih banyak barang keperluan persekolahan. Jenama terkemuka seperti Stabilo dan Pilot untuk alat tulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kedai Buku Borders untuk buku teks dan

buku rujukan bagi pelajar di seluruh Malaysia serta Mydin untuk pelbagai pilihan keperluan persekolahan,” katanya.

Sehingga kini, Ho berkata, Shopee mempunyai kira-kira 500 usahawan mengkhususkan dalam penjualan keperluan persekolahan.

“Barangan keperluan persekolahan termasuk di bawah kategori ‘Permainan, Kanak-Kanak dan Bayi’ merekodkan jualan memberangsangkan. Berbanding tahun lalu, kami merekodkan peningkatan jualan lebih 500 peratus daripada produk di bawah kategori ‘Permainan, Kanak-Kanak dan Bayi’.

“Antara barang keperluan sekolah yang mencatat jualan tertinggi di Shopee termasuklah beg sekolah, bekas makanan dan kelengkapan alat tulis. Sepanjang tempoh kempen juga, Shopee menawarkan koleksi produk pilihan dan keperluan persekolahan pada harga berpatutan di bawah RM30,” katanya.

Dalam pada itu, Ho berkata, Shopee bakal melancarkan ‘Kempen Kembali ke Sekolah’ bermula 18 hingga 24 Disember ini, yang menawarkan potongan harga terhadap pelbagai jenis produk termasuk pakaian seragam sekolah, aksesori, bekas makanan, tudung dan kasut.

“Beberapa produk berasaskan makanan dan minuman terpilih juga ditawarkan termasuk bijirin dan susu kotak daripada Nestle dan Pati Ayam Brands sebagai persiapan untuk pelajar tahun depan.

“Kedai rasmi termasuk Stabilo, Pilot, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kedai Buku Borders dan Nestle akan menyertai Jualan Murah Kembali ke Sekolah dengan potongan harga sehingga 80 peratus di kedai rasmi masing-masing,” katanya.

Sepanjang tempoh kempen itu, Shopee turut mengadakan cabutan bertuah bagi pengguna yang membuat pembelian dengan hadiah berbentuk set alat tulis Stabilo, Tupperware dan baucar buku Borders serta DBP.