CANON Marketing (Malaysia) Sdn Bhd (Canon) melancarkan Océ Colorado 1640, pencetak format besar gulungan ke gulungan 64 inci yang pertama dan membolehkan pelanggan di Malaysia memanfaatkan teknologi Canon UVgel baharu yang moden.

Pencetak baharu ini juga menawarkan kos operasi lebih rendah, penyelenggaraan automatik dan kemampuan untuk mencetak di atas rangkaian media yang luas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Andrew Koh berkata, sebagai peneraju dalam bidang pengimejan digital, Canon sedar mengenai permintaan dalam segmen pencetakan komersial dengan teknologi pengimejan yang mampu memberikan hasil lebih cepat dan fleksibel, dan pada masa yang sama mengekalkan kualiti luar biasa.

"Teknologi UVgel Canon merupakan pengubah dalam format cetakan besar yang akan mendefinisikan semula sempadan produksi cetakan komersial. Océ Colorado 1640 yang dibina di atas teknologi UVgel ini menjadi bukti terhadap budaya inovasi Canon.

"Kami akan terus komited menyediakan penyelesaian efektif yang dapat membantu pelanggan menambahbaik produktiviti perniagaan mereka dan mencipta peluang menjana keuntungan yang baru,” katanya.

Beliau memberitahu, Océ Colorado 1640 dengan teknologi UVgel mampu menghasilkan cetakan yang tepat serta tahan lama untuk kegunaan di dalam dan luar bangunan.

Sementara itu, Ketua Divisyen Produk Pencetakan Profesional Canon Marketing Malaysia, Albert Mah berkata, Océ Colorado 1640 dengan teknologi UVgel Canon dapat menjimatkan kos operasi kerana ia menggunakan kurang 40 peratus dakwat dan hampir satu pertiga kos buruh.

“Binaan automasi di dalam pencetak ini membolehkan penyedia servis pencetakan menjadi lebih kompetitif,” katanya.