BARU sahaja melancarkan cawangan 4S yang pertama pada Jun baru-baru ini, kini Proton mengumumkan pula pembukaan rasmi cawangan 3S baharu, Pantai Bharu Corporation Sdn Bhd.

Pemilik dan pemegang saham Pantai Bharu, Datuk Shamshudin Nor berkata, sebelum ini, cawangan tersebut beroperasi sebagai pusat 1S dan 2S di dua premis yang berasingan.

"Namun, untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan selaras dengan standard keperluan yang ditetapkan oleh Proton, pihak pengurusan Pantai Bharu membuat keputusan untuk melabur dan mengembangkan perniagaannya kepada cawangan 3S dan mengendalikannya di bawah bangunan baharu yang dibina di Jalan Kapar, Klang," katanya.

Katanya, untuk berjaya perlu bergerak seiring dengan perubahan masa dan kekal relevan kerana keadaan pasaran sentiasa berubah.

"Justeru, tujuan berpindah ke kawasan baharu adalah bagi menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik. Kawasan baharu ini akan menyediakan kemudahan sebagai pusat sehenti bagi jualan, servis dan alat ganti kepada pelanggan.

“Cawangan baharu ini dilengkapi 12 petak penyelenggaraan, lapan servis pengangkat, ruangan yang mampu menempatkan 35 tempat duduk pelanggan, tiga ruang penyerahan kereta dan 70 petak tempat letak kereta pelanggan.

"Di samping itu, kami juga menyediakan ruangan bagi kanak-kanak bermain, ruangan minuman dan untuk mengecas telefon juga komputer riba bagi pelanggan bersantai dan berehat, serta WIFI percuma bagi memastikan pelanggan sentiasa berhubung,” katanya.

Majlis perasmian cawangan terbaharu ini telah disempurnakan ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa serta barisan pengurusan kanan Proton.

Dalam perkembangan lain, sehingga 30 Jun, Proton mempunyai 87 cawangan yang telah bersedia untuk menaiktaraf kepada 3S dan 4S, lebih cepat

daripada yang dijangkakan dalam masa dua bulan.

Ini adalah pencapaian 80 peratus berbanding sasaran 109 cawangan, yang akan siap pada Oktober tahun ini.

Di samping itu, Proton juga mencatatkan jualan lebih daripada 50 peratus berbanding Mei 2018 dan ini menyumbang kepada penguasaan pasaran sebanyak kira-kira 10 peratus, dengan Saga dan Persona mendahului jumlah jualan, menerusi peningkatan sebanyak 70 peratus dan 56 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Tawaran hebat Saga diteruskan sepanjang bulan Julai.