BUTTERWORTH - Program Francais Komuniti yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu, berjaya menarik penyertaan 732 francais berpotensi dalam pelbagai bidang perniagaan dengan anggaran nilai pelaburan RM80.168 juta.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kassim berkata pencapaian program itu amat membanggakan  memandangkan program itu baru saja dilancarkan di 10 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya program itu berjaya mencatatkan pencapaian nilai potensi pelaburan sebanyak RM21 juta bagi francais mikro iaitu melibatkan modal kurang daripada RM50,000 dan RM59 juta bagi francais makro (modal melebihi RM50,000).

"Ini merupakan satu jumlah yang agak memberangsangkan dan terbukti sistem francais boleh mewujudkan golongan usahawan tempatan yang berkemampuan untuk menguruskan perniagaan dengan berkesan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Francais Komuniti Peringkat Pulau Pinang di perkarangan rumah pangsa Kompleks D, Seberang Jaya di sini malam tadi.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar  Shah.

Saripuddin berkata program berkenaan juga berjaya membuka minda masyarakat yang sebelum ini berpandangan bahawa program francais hanya untuk peniaga yang mempunyai modal besar antara RM500,000 dan RM1 juta.

Katanya kerajaan turut memperuntukkan RM8 juta sebagai skim pinjaman mikro yang dinamakan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) kepada mereka yang mahu memulakan perniagaan francais.

"Sehingga Khamis lepas, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM3.45 juta kepada 151 bakal francaisi untuk memulakan perniagaan mereka.

"Jadi saya harap mana-mana usahawan yang berminat supaya merebut peluang untuk mendapatkan baki dana kira-kira RM4.45 juta bagi memulakan perniagaan francais melalui program berkenaan," katanya.

Beliau berkata kerajaan percaya perniagaan francais dapat membantu menambah pendapatan isi rumah bagi mengimbangi pendapatan dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi dari semasa ke semasa. - Bernama