ANDALUSIA Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), syarikat pengendali umrah bersama Rayhar Travels Sdn Bhd (Rayhar), memeterai perjanjian penyewaan pesawat A380 dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi tujuan membawa jemaah umrah untuk pelepasan pada Oktober 2017 sehingga Jun 2018.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, sebanyak 92 penerbangan sewa khas MAB dengan jumlah 42,021 tempat duduk dijadual berlepas ke Madinah dan Jeddah bermula 26 Oktober 2017 sehingga 3 Jun 2018.

Menurutnya, perjanjian untuk tahun ketiga berturut-turut itu merupakan kesinambungan kerjasama di antara kedua-dua agensi pelancongan dan MAB, bagi dua musim umrah yang lalu.

“Pada musim 2015 sehingga 2016, sebanyak 22 penerbangan dengan bilangan penumpang berjumlah 10,269 orang.

"Manakala pada musim 2016 sehingga 2017, sebanyak 52 penerba-ngan dengan bilangan penumpang 23,667 berjaya dilakukan,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penerbangan Catar Umrah MAB A380, kelmarin.

Perjanjian penyewaan pesawat tersebut ditandatangani Pengarah yang juga Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris, dan Pengarah Eksekutif Rayhar, Zakaria Ahammu, manakala pihak MAB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew dan Ketua Bahagian Catar, Proteek Kumar.

Majlis turut disaksikan Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin dan Pengarah Rayhar Travels, Harun Ammu serta Ketua Pegawai Operasi MAB, Kapten Izham Ismail.

Md Daud berkata, nilai untuk membawa jemaah umrah musim baharu itu berjumlah RM122.362 juta, di mana ia peningkatan yang sangat mendadak berbanding tahun sebelumnya.

“Andalusia dan Rayhar amat menitikberatkan mutu perkhidmatan dan yakin pihak MAB yang berpengalaman luas dalam urusan penerbangan sewa khas ini, mampu beri perkhidmatan cemerlang kepada jemaah,” katanya.

Sasar tambah kapasiti penerbangan

Mengulas mengenai keputusan mengekalkan penggunaan sewa penerbangan dengan MAB bagi pesawat MAS untuk tahun ketiga ini, Md Daud berkata, ia berdasarkan maklum balas dan permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Perkhidmatan yang diberikan MAS sangat selesa, layanan cukup baik dan makanan memuaskan memberi keyakinan kepada kami dan pelanggan untuk terus memilih penerbangan itu.

“Di samping harga yang sangat berpatutan, menjadikan penerbangan bersama pesawat MAS mendapat sambutan hangat berbanding pakej lain,” katanya.

Menerima permintaan tinggi setiap tahun, Md Daud berkata, penerbangan bersama pesawat A380 bagaimanapun terhad kepada 22,560 tempat duduk sahaja. Malah tempahan daripada pihak Andalusia untuk penerbangan MAS bagi musim umrah kali ini sudah pun mencapai kuotanya.

"Pelanggan lain boleh menggunakan penerbangan lain yang kami sediakan. Bagaimanapun, berdasarkan permintaan tinggi yang diterima untuk penerbangan MAS, kami harapkan ada penambahan kapasiti kepada 28,000 tempat duduk pada tahun hadapan, ” katanya.

Beliau berkata, untuk musim umrah kali ini, Andalusia berjaya mencapai 55,000 tempahan jemaah dan dijangka meningkat sehingga 60,000 menjelang Disember ini.

"Selain bekerjasama dengan MAB, jemaah umrah boleh memilih untuk mengambil pakej penerbangan dengan dua lagi syarikat penerbangan iaitu AirAsia dan Saudi Arabian Airlines," katanya.

Terima pengiktirafan Arab Saudi

Mengenai Andalusia sendiri, Md Daud berkata, syarikat itu amat sinonim bagi mereka yang ingin menunaikan haji dan umrah, selain melancong ke destinasi pilihan.

"Bukan sahaja terkenal di Malaysia, Andalusia turut disenaraikan Kerajaan Arab Saudi sebagai syarikat agensi pelancongan ketiga tertinggi di dunia, yang paling banyak membawa jemaah umrah, sekali gus menjadi agensi pelancongan pertama di Asia yang mendapat pengiktirafan itu.

"Ia pengiktirafan peringkat dunia, di mana setiap musim, Andalusia berjaya membawa 60,000 jemaah umrah biarpun dari negara Islam yang kecil," katanya.

Dengan pertambahan permintaan saban tahun, Md Daud berkata, ia membuktikan perkhidmatan yang diberikan memuaskan hati pelanggan, dan kepercayaan itu akan terus dikekalkan dengan sebaiknya.

"Pakej harga untuk umrah bermula RM5,190 dan Andalusia merupakan syarikat pengendali umrah yang menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan berbanding syarikat lain.

“Kami akan terus menjaga kualiti dan segalanya kami lakukan dengan kesungguhan agar pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.