FORTINET, peneraju global dalam penyelesaian keselamatan siber yang meluas, bersepadu dan automatik, menyeru para peminat bola sepak di Malaysia supaya melindungi telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya daripada serangan siber terutamanya semasa Piala Dunia FIFA 2018 berlangsung.

Pakar Strategis Keselamatan dan Rangkaian untuk Fortinet Asia Pasifik, Gavin Chow berkata, sukan antarabangsa yang penting seperti Piala Dunia 2018 menjadi sasaran utama serangan siber, termasuk warganegara biasa.

“Penggodam ketahui bahawa dengan keghairahan untuk menyaksikan siaran langsung atau mengikuti skor terkini, para peminat bola sepak akan cuai dan mengabaikan praktis keselamatan siber,” katanya.

Fortinet menjangkakan penipuan atas talian dan serangan ‘phishing’ akan melonjak di seluruh dunia apabila Piala Dunia 2018 bermula.

Gavin berkata, semasa menonton siaran langsung mahupun ulangan, atau menyemak keputusan perlawanan di atas talian, anda dinasihati untuk melawat laman web yang boleh dipercayai.

“Acara-acara yang menarik minat pihak awam dan liputan media sering dipergunakan untuk penipuan atau kempen serangan ‘phishing’.

“Penjenayah siber yang berniat jahat mungkin mencipta laman web dan domain palsu yang ternampak seperti berita atau liputan rasmi untuk menyalurkan malware ke pihak pengguna semasa melawati laman web tertentu (dikenali sebagai drive-by download atau watering hole),” katanya.