PETRONAS Dagangan Berhad (Petronas Dagangan) komited mengukuhkan jenamanya dengan menjalin pelbagai kerjasama bagi memahami dan memenuhi jangkaan pelanggan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata, sebagai usaha untuk mencipta lebih pengalaman kepada pelanggannya, Petronas Dagangan telah mula menaik taraf pam di stesen-stesen Petronas, bagi menyediakan kemudahan dan pengisian minyak lebih cekap.

"Syarikat ini turut memperkenalkan Kedai Mesra berkonsep baharu bergaya moden, bagi memberikan pengalaman unik, di samping memberikan pelbagai tawaran khas.

"Petronas Dagangan turut memperhebatkan lagi produk  ditawarkan dengan menjalin kerjasama bersama Malaysian Green Technology Corporation untuk menyediakan kemudahan ChargEV di stesen-stesen minyak Petronas, bagi memenuhi peningkatan bilangan kenderaan elektrik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Ibrahimnuddin berkata, Petronas Dagangan mencatatkan keuntungan sebelum cukai tertinggi berjumlah RM1.212 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, meningkat sebanyak RM129.9 juta berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, pencapaian itu disumbangkan oleh 'Winning Formula' syarikat itu, iaitu strategi-strategi perniagaan mantap, penawaran produk dan perkhidmatan yang unggul serta kakitangan berkaliber.

"Walaupun permintaan dalam negeri dan sentimen pengguna Malaysia lemah, syarikat kami tetap kukuh, dengan prestasi kewangan yang diraih Petronas Dagangan.

"Ini menunjukkan strategi  dijalankan sejak 2015 terbukti berkesan bagi menghadapi cabaran luaran," katanya.

Bagi perniagaan runcit, beliau berkata, Petronas akan terus menumpukan kepada usaha meningkatkan volum dan keuntungan, menerusi stesen-stesen minyak sedia ada dan pada masa sama, meluaskan lagi rangkaian Petronas Primax 97 dan Petronas Dynamic Diesel Euro 5.

"Kami akan terus mengembangkan perniagaan lain secara selektif, dengan menitikberatkan kepada segmen yang memiliki nilai tinggi," katanya.

Sehingga kini, Petronas mempunyai lebih 1,000 rangkaian stesen minyak di negara ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) ketika ini memiliki 60 lapangan menghasilkan minyak dan gas di Sarawak yang mengeluarkan purata 850,000 tong minyak sehari, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.