PENGGUNA dilihat lebih bersikap optimistik terhadap prospek ekonomi negara.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Nielsen Malaysia, mereka melihat inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, seperti pengurangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), adalah inisiatif yang bagus kepada mereka.

Kajian ini mengambil kira pendapat daripada lebih 1,000 pengguna yang berumur 18-64 tahun dari Semenanjung Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Ia mendapati bahawa majoriti pengguna empat daripada lima yakin bahawa keadaan ekonomi akan berubah menjadi lebih baik berikutan pengurangan GST kepada 0 peratus pada 1 Jun lalu.

Kajian Nielsen pada Jun 2018 ini adalah suatu kajian sama yang dijalankannya pada 2015 yang mendapati bahawa sikap pengguna terhadap pengenalan GST adalah tidak optimis berbanding kajian pada tahun 2015 mendapati lebih separuh daripada pengguna Malaysia (58 peratus) percaya bahawa sistem cukai tersebut akan memanfaatkan keadaan ekonomi.

Sifar GST disambut baik

Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Raphael Pereda berkata, pengguna pada mulanya tidak pasti terhadap GST yang diperkenalkan pada tiga tahun yang lalu apabila cukai tersebut diumumkan buat pertama kali.

“Setelah mengalami kesan-kesan GST pada tiga tahun ini, mereka nampaknya mengalu-alukan langkah untuk menghapuskan cukai tersebut, hal sedemikian mungkin disebabkan oleh peningkatan kos barangan dan perkhidmatan secara perlahan-lahan sejak pelaksanaannya sepertimana yang digambarkan dalam Indeks Harga Pengguna.

“Malah, kajian ini menunjukkan lebih separuh daripada pengguna (57 peratus) menjangka harga barangan dan perkhidmatan akan turun berikutan sifar GST, manakala satu pertiga pengguna (33 peratus) percaya bahawa harga barangan akan kekal pada paras semasa,” katanya.

Menurut Pereda, tahap optimisme pengguna ini mungkin membawa berita baik kepada pihak pengeluar dan peruncit, iaitu dengan keinginan berbelanja pengguna yang berkemungkinan besar akan meningkat, justeru mendorong kepada peningkatan jualan.

“Dua daripada tiga pengguna (69 peratus) menjangka tabiat pembelian mereka akan berubah berikutan pengurangan GST, di mana hampir satu pertiga (30 peratus) mengatakan bahawa mereka akan berbelanja lebih dalam kategori barangan keperluan penting seperti pakaian, makanan yang mudah rosak, makanan yang tidak mudah rosak dan produk bayi.

“Selain itu, pengguna juga menunjukkan kesediaan untuk meningkatkan perbelanjaan mereka ke atas pembelian barangan yang tidak penting seperti percutian (33 peratus), hartanah baharu (27 peratus) dan hiburan di luar rumah (26 peratus). Satu daripada empat pengguna (25 peratus) juga mengatakan bahawa mereka dapat membayar hutang setelah GST berkadar sifar.

Banyak tawaran diskaun

Pereda percaya bahawa peruncit juga akan mengambil kesempatan ke atas keseluruhan tahap optimisme selepas pilihan raya  9 Mei lalu.

Katanya, ramai peruncit  menawarkan diskaun kepada pengguna walaupun sebelum kadar sifar GST dilaksanakan secara rasmi untuk menggalakkan pengguna tidak menangguhkan perbelanjaan mereka sehingga 1 Jun 2018.

“Kajian Nielsen juga menunjukkan tiga daripada empat pengguna (77 peratus) melihat inisiatif kerajaan untuk menetapkan harga minyak sebagai inisiatif yang baik untuk pengguna.

“Apabila ditanya pendapat mereka tentang apa yang kerajaan akan lakukan terhadap tol jalan raya, sebahagian besar pengguna percaya tol akan dihapuskan atau dikurangkan. Adalah jelas bahawa pengumuman dasar baharu yang dilakukan oleh kerajaan telah mendapat sambutan majoriti rakyat Malaysia,” katanya.