• logo baru AirAsia AirAsia
1 /

SYARIKAT penerbangan tambang rendah AirAsia akan menambah penerbangan ke Sabah dan Sarawak sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan disambut di dua negeri itu bermula akhir Mei depan.

Menurut AirAsia, tiket dari Kuching ke Bintulu, Pulau Pinang, Johor Bahru, Singapura dan Kuala Lumpur serta dari Kota Kinabalu ke Sandakan, Tawau dan Kuala Lumpur juga akan dijual pada harga promosi bermula RM49 sehala.

"Selain harga promosi itu, AirAsia juga akan menambah kekerapan penerbangan dari Kuching ke Bintulu, Pulau Pinang, Johor Bahru, Singapura and Kuala Lumpur dari 28 Mei hingga 5 Jun 2013 sempena Hari Gawai di  Sarawak dan Pesta Kaamatan yang disambut masyarakat Kadazandusun di Sabah.

"Jadual penuh penerbangan tambahan ini boleh didapati di laman web AirAsia. Pengguna boleh membuat tempahan bermula semalam sehingga 24 Mac dan tempoh penerbangan sehingga 15 Jun 2013," menurut kenyataan itu, semalam.

Sementara itu, AirAsia dalam kenyataan berasingan menasihati penumpang AirAsia supaya membuat perjalanan ke lapangan terbang awal untuk penerbangan masing-masing kerana kesesakan jalan raya yang dijangka berlaku sempena acara Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang dari 22 hingga 24 Mac ini.