RESTORAN berkonsep kasual inspirasi bandar raya New York, NY Steak Shack (NYSS), berhasrat memperluaskan empayar perniagaan makanan barat halal itu di arena antarabangsa dengan membuka cawangan di Kuwait dan Jepun.

Pengurus Besar Jenama NYSS, Muhammad Adam Mah berkata, konsep perniagaan itu mendapat perhatian ahli perniagaan Kuwait dan Jepun ketika mereka berkunjung ke Malaysia baru-baru ini.

“Kami berharap untuk menembusi pasaran negara tersebut sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di cawangan NYSS pusat beli-belah Alamanda di sini, semalam.

Penyerahan sijil halal Jakim kepada NYSS, yang pertama kepada rangkaian restoran makanan stik di negara ini, disempurnakan oleh Penolong Pengarah Unit Hubungan Industri Seksyen Komunikasi Korporat Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd Safzan Muhd Mukhtar.

Muhammad Adam berkata, penganugerahan itu menjadikan usaha melebarkan perniagaan ke arena antarabangsa, khususnya di negara yang mementingkan konsep halal menjadi lebih mudah.

“Sijil halal Jakim memang diperakui di peringkat antarabangsa dan penganugerahan ini menjadikan semua 10 cawangan NYSS telah memiliki pensijilan halal, satu aspek yang amat diambil berat oleh penggemar stik,” katanya sambil menambah daging yang digunakan diimport  dari Australia.

Beliau berkata, pihaknya kini hanya menunggu kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebelum urusan pembukaan francais di luar negara dimuktamadkan.

Menurutnya, bagi perniagaan dalam negara, NYSS yang hanya beroperasi di Lembah Klang sejak penubuhannya pada 2014 menyasarkan untuk membuka tiga cawangan baharu tahun ini iaitu di Melaka, Johor dan Pahang.

Sementara itu, Mohd Safzan berkata, pensijilan halal Jakim kepada NYSS telah dikeluarkan pada 16 Januari lepas dengan tempoh sah laku sehingga dua tahun.