NAZA Kia Malaysia Sdn Bhd (NKM), pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, melancarkan sedan sport Kia Stinger hari ini.

Berdasarkan konsep Grand Turismo (GT), KIA Stinger menampilkan prestasi tinggi dan keselesaan yang maksimum.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd Datuk Samson Anand George berkata untuk memenuhi permintaan pelanggan di Malaysia, kumpulan itu memperkenalkan dua varian Kia Stinger, 3.3-liter (L) V6 GT berharga RM309,888 (harga atas jalan dan tanpa insurans) dan 2.0-liter GT-Line dengan harga atas jalan sebanyak RM239,888.

"Kami percaya Kia Stinger akan meningkatkan identiti jenama dan akan menjadi penanda aras kepada masa depan kenderaan Kia," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran tersebut di sini.

Nilai estetika Kia Stinger telah mendapat pengiktirafan dunia, telah  menerima anugerah Eyes On Design for Production Car Design Excellence di North American International Auto Show (NAIAS) pada 2017.

Sejak diperkenalkan pada Ogos 2017, Kia Stinger telah meraih pelbagai penghargaan di peringkat global daripada nama-nama yang berprestij dalam  industri, antaranya 'Best of the Year' dan 'Best Sports Sedan' dalam MotorWeek's 2018 Drivers' Choice Awards dan ‘2018 Shift Award Vehicle of the Year’ daripada Roadshow By CNET. - Bernama