• Najib Tun Razak Najib (tengah) menerima cenderahati replika Malindo Airways daripada Ketua Pengarah Pt. Lion Grup, Rusdi Kirana.
1 /

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan syarikat penerbangan tambang murah yang baharu dikenali sebagai Malindo Air.

Najib berkata syarikat penerbangan itu, hasil usahasama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) dan PT Lion Group, akan mula beroperasi pada 1 Mei tahun depan dan akan berpangkalan di KLIA 2.

Usahasama itu, katanya bukan sahaja mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam industri penerbangan negara tetapi juga mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.

"Pada pendapat saya, akronim MALINDO - gabungan indah nama Malaysia dan Indonesia yang mempunyai nilai sejarah yang amat signifikan, tetapi juga memaparkan pertalian sejarah yang sekian lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara.

"Daripada segi untuk menjadi syarikat penerbangan terkenal, saya percaya nama ini akan menjadi jambatan bagi kedua-dua negara, menerusi rangkaian penerbangan yang luas yang akan menghubungkan banyak bandar raya dan bandar di rantau ini, membuka destinasi baharu untuk pelawat di Nusantara ini dan sekitarnya," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usahasama antara kedua-dua syarikat di sini.

Najib berkata cabaran besar dihadapi industri penerbangan hari ini adalah termasuk peningkatan ketara kos operasi,dan kenaikan harga bahan bakar, dan perkongsian pintar seperti yang dimeterai hari ini akan menawarkan pelbagai penjimatan kepada syarikat penerbangan baharu dan keefisienan daripada segi penyenggaraan pesawat serta peluang menerokai pasaran cergas oleh syarikat penerbangan tambang murah (LCC) yang baharu.

"Syarikat penerbangan perlu inovatif dan kreatif untuk membolehkannya terus mengaut keuntungan dan kekal sebagai satu perniagaan, tanpa berkompromi terhadap tahap perkhidmatan, kebolehpercayaan dan kebolehmampuan," katanya.

Mengenai unjuran dalam industri penerbangan global, Najib berpendapat aliran  trafik udara dunia dijangka mengalami pertumbuhan pada kadar 5.1 peratus setahun untuk tempoh 20 tahun akan datang, manakala perjalanan udara di rantau Asia Pasifik dijangka berkembang sebanyak 6.7 peratus.

"Rantau Asia Pasifik menyumbang sebanyak 34 peratus daripada aliran trafik penumpang global dan ini dijangka meningkat hampir tiga kali ganda daripada 779.6 juta pada 2010 kepada lebih 2.2 bilion pada 2030 dengan Malaysia dijangka menyumbang 200 juta penumpang.

"Ini merupakan angka yang amat besar. Dan ia mewakili peluang amat besar bagi syarikat penerbangan dan amnya pemain industri penerbangan di rantau ini.     

"Kita perlu bersedia untuk menerokai pasaran amat menguntungkan ini dan kesediaan bermakna memanfaatkannya dan melakukan perubahan pada hari ini bagi keadaan pasaran yang kita jangkakan esok," katanya.

Najib berkata penubuhan syarikat penerbangan baharu itu tepat pada masanya untuk memenuhi peningkatan permintaan pasaran, bagi penerbangan tambang murah dan rangkaian hubungan maksimum di rantau ini terutamanya antara bandar raya berlainan di Malaysia dan beberapa kawasan di Indonesia.

Katanya menerusi pengalaman luas dalam Operasi Syarikat Penerbangan, perkhidmatan MRO (penyenggaraan, membaiki dan baik pulih), Supply Chain Management and Human Capital development, NADI dan PT Lion Group bukan sahaja mampu menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan mereka di rantau ini malah juga kepada industri penerbangan global.

"Ini akan memperkukuhkan ekosistem Perniagaan Penerbangan di Malaysia dan juga di Indonesia. Lagipun perkongsian ini akan menawarkan perjalanan udara  tambang murah serantau dengan persaingan sihat yang bakal memberi manfaat kepada pelawat di kedua-dua negara," katanya.

Menurut Perdana Menteri, Industri Aeroangkasa Malaysia yang telah mencatatkan pertumbuhan pesat dalam tempoh 20 tahun lepas, berada pada kedudukan baik untuk memenuhi cabaran dan memanfaatkan peluang di masa depan jika ia diperkembangkan dan dibangunkan secara berterusan.

Pada 2011, Najib berkata industri itu menjana pulangan RM26 bilion, menggaji kira-kira 54,000 pekerja, dengan 15,000 daripadanya merupakan tenaga mahir dalam pelbagai bidang.

"Ini adalah sesuatu yang kita, sebagai rakyat Malaysia, boleh berbangga, khasnya, kerana ia merupakan bukti kejayaan Pelan Induk Aeroangkasa Negara yang diperkenalkan pada 1997," katanya.

Pelan Induk itu yang menggariskan 45 cadangan meliputi pembuatan aeroangkasa, penerbangan komersil, penerbangan am, sistem dan angkasa, bagi menyediakan rangka kerja perlu untuk membangunkan Malaysia sebagai pemain aeroangkasa global daripada aspek teknologi dan daya saing menjelang 2015.

Pengenalan Program Transformasi Ekonomi (ETP) meningkatkan lagi perkembangan industri aeroangkasa Malaysia, mengenal pasti dua Projek Entry Point iaitu "EPP1-Growing MRO Services" dan "EPP2-Growing Large Pure Play Engineering Services", yang dijangka menyumbang RM16.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan mewujudkan lebih 32,000 peluang kerja menjelang 2020, kata Najib. - Bernama