MALINDO Air melancarkan penerbangan lima kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Kolkata untuk mengembangkan jangkauannya di India.

Penerbangan sulung dengan 162 penumpang itu berlepas dari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.55 malam semalam.

Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Shri Mridul Kumar dan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy menyaksikan penumpang berkenaan berlepas.

Penerbangan itu menggunakan pesawat Boeing 737, yang terdiri daripada 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150/168 tempat duduk kelas ekonomi.

Penerbangan pulang dari Kolkata OD282 dijadualkan berlepas pada pukul 12.10 pagi dan tiba di KLIA pada pukul 6.35 pagi hari ini.

"Laluan Kuala Lumpur-Kolkata dijangka dapat meningkatkan jumlah penumpang bagi segmen perniagaan dan rekreasi ke dan dari Malaysia dan seterusnya, di samping menyokong sumbangan kami kepada visi Malaysia Airports untuk diiktiraf sebagai hab serantau Asia," kataa Chandran Rama Muthy dalam satu kenyataan hari ini.

Tambang promosi pada RM499 bagi kelas ekonomi dan RM899 untuk kelas perniagaan dari Kuala Lumpur.

Tambang termasuk elaun bagasi 25 kilogram untuk kelas ekonomi dan 40 kg untuk kelas perniagaan, dan makanan dalam penerbangan dengan ruang kaki yang luas untuk penumpang.