KUMPULAN Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) menawarkan 50 peratus diskaun tol kepada semua kelas kenderaan bagi kedua-dua pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint bersempena Aidilfitri yang bakal tiba.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Litrak, Sazally Saidi dalam kenyataannya hari ini berkata diskaun tol itu akan dinikmati pengguna bermula 12 tengah malam esok (13 Jun) dan berakhir pada 11.59 malam (14 Jun).

“Kami memahami keperluan pulang beraya ke kampung halaman dan menguruskan hal yang berkaitan. Oleh itu, kami berharap menerusi langkah ini, kita dapat bersama-sama berkongsi kegembiraan menyambut dan menyemarakkan Syawal,” katanya.

Melalui insentif diskaun tol ini, ia dianggarkan memanfaatkan hampir 1.5 Juta pengguna di kedua-dua LDP dan Lebuhraya Sprint.

Sazally berkata sejak tahun 2010, Litrak telah memberikan diskaun tol ketika musim perayaan utama Malaysia sebanyak RM11.67 juta kepada 13.6 Juta pengguna LDP dan RM1.04 Juta kepada 5.2 juta  pengguna Lebuhraya Sprint.

Litrak turut mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri dan menasihati pengguna jalan raya agar mengamalkan pemanduan yang selamat. - Bernama