LOOB Holding Sdn Bhd, pencipta jenama ‘bubble tea’ Malaysia Tealive, mengumumkan usaha sama dengan dua syarikat China untuk membuka 500 cawangan Tealive di China dalam tempoh tiga tahun.

Syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu telah menandatangani perjanjian bersama Zhejiang Boduo International Trade Co. Ltd dan Shanghai Panfei International Trade Co. Ltd di sebuah majlis yang turut dihadiri oleh para pegawai industri francais dan runcit serta wakil-wakil kerajaan dari Malaysia dan China.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo telah menandatangani perjanjian bagi pihak Loob Holding, pemilik 51 peratus saham majoriti dalam usaha sama yang akan dikenali sebagai ‘Shanghai Loob Boduo Food and Beverage Co. Ltd’, tertakluk kepada kelulusan pendaftar syarikat oleh pihak berkuasa yang berkenaan di China.

Mewakili pihak rakan kongsi China, perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif, Yu Tong untuk Zhejiang Boduo International Trade dan Pan Junfei, untuk Shanghai Panfei International Trade.

Loo berkata, usaha sama tersebut bakal menyaksikan pembukaan cawangan Tealive pertama di Shanghai pada bulan September ini, sebelum lebih banyak lagi cawangan dibuka di bandar-bandar terpilih yang lain.

Beliau juga yakin bahawa usaha sama ini bakal mencapai sasaran yang telah ditetapkan iaitu 500 buah cawangan dalam tempoh tiga tahun.

“Tealive ialah sebuah jenama tempatan yang kita bangga dengannya, kerana Tealive “Lahir di Malaysia, Demi Dunia”, dan sesungguhnya, kami telah berjaya.  

“Kira-kira enam bulan selepas penubuhan Tealive, kami telah membawa jenama ini ke pasaran Vietnam dan kini kami telah mempunyai lima cawangan. Kami juga telah menembusi pasaran Australia dengan pembukaan cawangan pertama kami di negara tersebut pada bulan hadapan.

“Pada bulan lepas, kami telah melantik francaisi utama kami di India dan kami menyasarkan pembukaan sebanyak 140 cawangan dalam tempoh lima tahun. Sekali lagi, Loob telah mencapai kejayaan dengan menjadi jenama Bubble Tea pertama Malaysia yang menembusi pasaran India,” katanya.

China, selaku pasaran keempat terbesar di dunia bagi teh, bakal menjadi pasaran keempat di luar negara bagi Tealive.

Menurut Loo, adalah bertepatan dengan kempen Tealive di mana jenama tersebut sentiasa menggalakkan para peminatnya untuk sentiasa bergerak maju ke hadapan dan mencapai kejayaan dalam semua usaha mereka.  

Loo berkata, Tealive telah memberi layanan kepada 2.5 juta pelanggan setiap bulan dari 175 cawangan dan jenama tersebut terus berkembang dari minggu ke minggu.

Berkenaan prospek di China, Loo berkata, aras penanda terbaharu telah menunjukkan bahawa pasaran bagi teh di China kini telah melebihi AS$21 bilion setahun.

“Teh mempunyai sejarah yang tinggi di China. Rakyat China meminum teh susu lima kali lebih berbanding kopi. Oleh itu, kami berpendapat bahawa semenjak kemunculan ‘pearl milk tea’ di Tanah Besar China beberapa tahun yang lalu, kopi telah jauh ketinggalan.

“Kami amat gembira dengan termetrainya usahasama bersama Zhejiang Boduo Holding Group dan Shanghai Panfei. Kami berharap untuk menjalinkan sebuah hubungan jangka panjang serta bermanfaat bersama mereka,” katanya.  

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Zhejiang Boduo, Yu Tong, menyifatkan Loob Holding sebagai rakan kongsi terbaik dengan keazaman yang kuat dalam memperkenalkan budaya menikmati teh moden ke seluruh pelosok rantau ini dan juga dunia.

Yu berkata, selain menjadi pasaran teh terbesar di dunia, China juga merupakan pengeluar dan pengeksport teh terbesar di dunia, membekalkan pelbagai jenis teh bermutu tinggi.

Beliau meramalkan bahawa pasaran teh di negara ini akan terus berkembang.

Tambah Yu, penanda aras yang lain ialah teh hanya merangkumi 7 peratus dari jumlah pengambilan minuman domestik pada tahun 2000 namun ia telah  meningkat kepada lebih daripada tiga kali ganda iaitu 26 peratus pada tahun 2015.

“Pada lima tahun lalu, jumlah keseluruhan industri telah meningkat pada kadar tahunan sebanyak 4.5 peratus kepada jangkaan AS$21.1 bilion pada 2018,” katanya.