DIGI telecomunications Sdn Bhd (Digi) menyasarkan untuk mempunyai kira-kira 2,000 rakan niaga di seluruh negara yang menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih, vcash, menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Praveen Rajan berkata, setakat ini, aplikasi pembayaran mudah alih keluaran Digi itu mempunyai 500 rakan niaga sedia ada di seluruh negara.

“Sasaran pelanggan vcash bukan sahaja kepada pengguna Digi tetapi semua pengguna telefon pintar tanpa mengira syarikat telekomunikasi dan perbankan yang digunakan,” katanya ketika pelancaran vcash di Shah Alam, semalam.

Menurutnya, matlamat Digi adalah untuk menawarkan pengguna dan peniaga satu penyelesaian bayaran yang lebih mudah dan bebas risiko, selaras dengan aspirasi syarikat itu untuk menukar pembayaran tunai kepada digital.

Katanya, vcash boleh digunakan oleh semua jenis perniagaan sama ada kecil dan besar termasuk peniaga nasi lemak dan kedai runcit.

“Cara penggunaannya adalah mudah, pengguna hanya perlu muat turun aplikasi vcash secara percuma di Google Play Store, depositkan wang menerusi kedai Digi atau perbankan internet.

“Bagi pembayaran, pengguna perlu mengimbas kod QR di kedai rakan niaga berdaftar, masukan jumlah  bayaran dan terima tempahan selepas transaksi selesai,” ujarnya.

Katanya, vcash membolehkan peniaga dan pengguna melakukan transaksi pembayaran tanpa tunai yang selamat dan tidak memerlukan yuran transaksi, tahunan, pemasangan dan peralatan khusus.

Vcash dibangunkan dengan kerjasama Valyou Sdn Bhd ini  diiktiraf Bank Negara Malaysia dan disokong oleh rangkaian pusat deposit di lebih 300 kedai milik Digi dan kedai pengedar Digi.