RUMAH pintar adalah sesuatu didambakan semua orang terutamanya Generasi Y, yang sudah terdedah dengan teknologi di hujung jari.

Walaupun keinginan itu tinggi, namun rata-rata mereka mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat kerana menganggap aplikasi dan peranti berkaitan rumah pintar adalah mahal, pada masa yang sama merumitkan kerana terdapat pelbagai aplikasi yang perlu digunakan.

Menyedari masalah itu, sebuah syarikat tempatan, BNetworks Sdn Bhd hadir dengan satu inovasi yang memudahkan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dalam satu peranti dengan harga berpatutan, dikenali sebagai bWave.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tharmaindran K Gannasin berkata, bWave telah berada di pasaran pada Jun 2016 serta melalui proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama hampir tiga tahun bagi memastikan produk dihasilkan bersesuaian dengan keadaan persekitaran teknologi dalam negara dan Asia Tenggara.

“Tiga tahun itu adalah masa untuk kami memahami kehendak pelanggan bagi pasaran tempatan dan menambah baik sistem-sistem lama yang tidak sesuai digunakan dalam keadaan semasa.

“Ini kerana kami tahu 90 peratus rumah baharu akan diubahsuai, yang mana ia akan mengganggu peranti yang ditanam pada rumah,” katanya kepada Sinar Harian di Bukit Jalil, baru-baru ini.

Oleh itu, bWave dibangunkan tanpa wayar, dua sambungan internet iaitu WiFi dan 4G Skimkad, disertakan dengan bateri (boleh tahan enam jam) dan boleh digunakan walaupun tiada liputan internet.

bWave diluluskan oleh Sirim dibangunkan menggunakan dana daripada  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan PlaTCOM Ventures, agensi di bawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM).

Satu bWave, 150 peranti

Salah satu masalah yang dihadapi dalam sistem rumah pintar adalah terlalu banyak aplikasi.

Menurutnya, kelemahan peranti-peranti IoT adalah kerana ia tidak berintegrasi di antara satu dengan yang lain.

“Kebiasaannya jika rumah pintar dilengkapi dengan banyak gajet asas, pengguna perlu memuat turun sekurang-kurangnya 20 hingga 30 aplikasi pada peranti kawalan seperti telefon pintar.

“Sebab itu, bWave dibangunkan sebagai penyelesaian kepada rumah pintar, yang mana menyokong lapan ciri dan kira-kira 150 peranti daripada pelbagai protokol IoT ,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM3.5 juta bagi pembangunan bWave.

Menurutnya, bWave juga berkeupayaan untuk menyokong pelbagai jenama peranti yang berada di pasaran.

Bagaimanapun, BNetworks menggalakkan lebih banyak pembuat peranti tempatan agar boleh bekerjasama pada masa akan datang, sekali gus menjadikan bWave produk penyelesaian rumah pintar 100 peratus milik tempatan.

Katanya, aplikasi bWave juga adalah mesra pengguna dengan menggunakan simbol dan warna agar mudah difahami oleh semua peringkat usia.

Menurutnya, BNetworks menawarkan harga serendah RM2,900 unit yang tersedia bagi tiga peranti.

“Biasanya rumah pintar dilengkapi dengan enam hingga tujuh peranti dan pakej ini merupakan pakej permulaan kepada yang baru ingin mencuba.

“Tiga peranti itu boleh dipilih mengikut kehendak pengguna, tetapi selalunya sesuai untuk lampu, pintu dan kamera,” katanya.

Sasar pemaju perumahan

Sasaran utama bWave adalah kepada pemaju perumahan yang dijangka menawarkan rumah pintar siap kepada pengguna pada masa akan datang.

Sebagai projek perintis bagi rumah pintar menggunakan bWave, satu syarikat pemaju tempatan sedang membangunkan projek perumahan di Kota Kemuning dan Pulau Pinang.

Tharmaindran (kiri) bersama anugerah yang diterima menerusi bWave.

Selain rumah, katanya, bWave juga boleh digunakan bagi perkhidmatan hotel dan hospital.

“Setakat ini, kami sedang menjalankan ujian percubaan kepada sebuah hotel di Johor Bahru dan hospital di Selangor,” katanya.

Berdasarkan kepada tempahan semasa, bWave dijangka dipasang sebanyak 2,500 unit dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pun begitu, Tharmaindran menjangkakan tempahan akan bertambah pada tahun hadapan didorong oleh perkembangan industri hartanah  yang baik.

Mengulas berhubung pasaran luar negara, katanya, pihaknya mahu meneroka pasaran sedia ada dalam negara terlebih dahulu.

“Kami lihat banyak potensi yang perlu diterokai dalam negara tetapi disebabkan kami menerima permintaan dari India, kami membuka dua bilik pameran di Karachi dan New Delhi tahun ini,” katanya.

Bagi pasaran tempatan, bWave dijual menerusi ejen yang dilantik di setiap negeri, sekali gus menggalakkan penglibatan usahawan di dalam sektor IoT.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.