KUALA LUMPUR – Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, didorong sentimen positif memandangkan kebimbangan berkaitan perang perdagangan kembali reda sekali gus meningkatkan minat risiko global, kata peniaga.

Pada 9.03 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.07 mata kepada 1,677.7 daripada 1,672.63 ketika ditutup Isnin.

Indeks barometer itu dibuka 2.42 mata lebih tinggi kepada 1,675.05.

Maybank IB Research berkata pasaran tempatan dijangka meneruskan peningkatan semalam hari ini selepas Wall Street merekodkan kenaikan, ketika jangkaan musim keuntungan yang mapan.

Firma itu juga berkata saham minyak dan gas boleh mencatatkan peningkatan daripada harga minyak mentah yang lebih kukuh.

“Secara teknikal, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan antara 1,680 dan 1,720 hari ini. Sokongan rendah pada 1,658 dan 1,630,” menurut firma penyelidikan itu dalam nota.

Penanda aras bagi minyak mentah stabil pada Isnin, dengan minyak mentah Brent naik 40 cent kepada US$77.51 setong susulan peniaga bimbang terhadap gangguan pengeluaran di Libya dan Venezuela selain jangkaan penurunan dalam jumlah yang besar bagi eksport Iran.

Peningkatan aktiviti penggerudian oleh Amerika Syarikat, yang mungkin menghasilkan pengeluaran​​​​​​​ minyak syal, turut mewujudkan sentimen seimbang terhadap bekalan yang terhad.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing meningkat lima sen kepada RM9.13 dan RM5.35, Tenaga dan Petronas Chemicals masing-masing naik lapan sen kepada RM14.38 dan RM8.59, manakala Public Bank bertambah empat sen kepada RM22.58.

Saham aktif, YTL Corp dan Top Glove masing-masing menokok dua sen kepada RM1.16 dan RM9.15 manakala Nova MSC naik setengah sen kepada 19 sen.

MISC muncul saham paling untung selepas naik 15 sen kepada RM6.06 dengan 7,200 saham bertukar tangan, manakala KLK saham paling rugi apabila susut 36 sen kepada RM23.76.

Indeks FBM Emas meningkat 31.38 mata kepada 11,829.59, Indeks FBMT100 naik 32.78 mata kepada 11,631.23 dan FBM70 menokok 26.89 mata kepada 14,350.02.

Indeks FBM Emas  Syariah bertambah 26.39 mata kepada 11,954.8 dan Indeks FBM Ace naik 18.31 mata kepada 5,250.92.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 53.31 mata kepada 16,486.16, Indeks Perusahaan bertambah 17.71 mata kepada 3,118.11, namun Indeks Perladangan susut 17.48 mata kepada 7,434.95.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 135 berbanding 52, manakala​113 kaunter tidak berubah, 1,568 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 46.43 juta unit bernilai RM46.9 juta.-Bernama