KUALA LUMPUR - Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) mendapat projek bernilai RM171.5 juta daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membina kompleks penempatan pelajar.

Pengarah Urusan AZRB Datuk Wan Zakariah Muda berkata projek tersebut melibatkan perancangan, pembinaan dan pembangunan empat blok penempatan dan empat tingkat podium, dewan pelbagai guna, gelanggang boling 10 lorong dan lot letak kereta.

"Kami akan membangunkan kompleks penempatan pelajar untuk UTM di kawasan seluas 1.21 hektar dan akan siap dalam masa tiga tahun," katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Projek ini akan digabungkan ke dalam kontrak dalam tangan kami bagi tahun ini yang kini pada RM3.5 bilion," katanya dan menambah bahawa kontrak dalam tangan kini akan bertahan dalam masa empat hingga tahun akan datang.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Prof Mohd Azraai Kassim berkata UTM akan membayar jumlah projek pembangunan kompleks penempatan pelajar itu melalui 100 peratus pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Di sebabkan kami mempunyai rekod pembayaran yang baik sebelum ini, KWSP telah bersetuju untuk membiayai projek kedua UTM," katanya.

Bayaran balik bagi pinjaman kepada KWSP iaitu dalam tempoh tujuh tahun, akan melalui sumber pendapatan penyewaan bangunan-bangunan ini, katanya. - Bernama