BERIKUTAN tahap pengurusan kewangan yang rendah di kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya Bumiputera, sebuah syarikat tempatan, Bina Pavo Data Intelligence Sdn Bhd tampil membangunkan satu aplikasi yang mudah digunakan dalam pengurusan kewangan seharian.

Pengasasnya, Dr Mohar Yusof berkata, pihaknya yang mempunyai pengalaman selama lebih lima tahun dalam melatih kira-kira 800 usahawan baharu dan sedia ada sebagai pelatih keusahawanan, melihat bahawa masalah utama usahawan adalah pengurusan aliran wang dan merekodkan kewangan.

“Setiap kali mengadakan latihan kepada usahawan, kami melihat kebanyakan antara mereka tidak faham tentang pengurusan kewangan terutamanya Bumiputera.

“Kebanyakan mereka mencampuradukkan kewangan peribadi dan perniagaan. Sekiranya mereka tidak tahu memantau kewangan perniagaan, mereka tidak akan tahu untung atau rugi dan kedudukan kewangan sebenar mereka,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya sedia faham salah satu cabaran PKS adalah tidak mengetahui tentang perakaunan tetapi sebagai usahawan mereka perlu faham tentang duit keluar dan masuk bagi melihat prestasi kewangan mereka.

Oleh sebab itu, bagi membantu menyelesaikan masalah pengurusan aliran wang di kalangan PKS ini, Dr Mohar berkata, syarikatnya menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama enam bulan bagi menghasilkan aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai SiFAR.

“Kami memulakan R&D pada awal tahun lalu dengan bermodalkan lebih RM100,000 bagi tujuan membangunkan sistem dan membayar gaji pembangun aplikasi.

“Selepas beberapa bulan, akhirnya aplikasi itu dilancarkan pada 17 September tahun lalu,” katanya.

Sehingga Jun sahaja, aplikasi SiFAR telah digunakan oleh lebih 250 PKS di sekitar Lembah Klang dan kini dalam proses untuk mengembangkan penggunaannya ke seluruh negara pada masa akan datang.

Aplikasi mudah, senang dan murah

Seiring dengan slogan ‘Senang Aje’, aplikasi SiFAR ini sememangnya mudah dan senang digunakan oleh semua PKS walaupun tidak mempunyai pengetahuan di dalam pengurusan akaun.

“Pengguna hanya perlu memasukan jumlah wang keluar (credit) dan wang masuk (debit) di dalam sistem dan semua data akan disediakan oleh sistem.

“Sistem ini juga akan membantu pengguna membuat penyata kewangan dan penyata pendapatan secara automatik,” katanya.

Sistem ini dibangunkan menggunakan pengkomputeran awam dan ia mudah diakses di mana-mana sama ada menerusi laman web dan peranti Android.

SiFAR juga boleh didapati dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.

Dr Mohar berkata, pengguna yang mendaftar aplikasi ini akan menerima 30 hari keahlian percuma dan selepas tempoh itu akan dikenakan bayaran sebanyak RM50 sebulan serta RM500 setahun.

Menurutnya, harga itu adalah sangat berpatutan dalam pasaran dan memenuhi bajet kewangan PKS tempatan.

Katanya, pihaknya juga mengadakan latihan dengan mengajar pengguna cara-cara menggunakan aplikasi SiFAR ini.

Bina Pavo Data Intelligence yakin untuk mencapai sasaran sehingga 2,000 pengguna PKS menjelang akhir tahun ini didorong oleh aktiviti pemasaran yang agresif di tapak-tapak pameran dan kerjasama dengan persatuan perniagaan dalam negara.

Dr Mohar berkata, bagi menambah jumlah pengguna SiFAR, syarikatnya akan menganjurkan satu program latihan keusahawanan pertama di bawah syarikatnya pada akhir Julai depan.

“Dalam latihan itu, kami akan memperkenalkan SiFAR kepada lebih banyak usahawan PKS,” katanya.

Buka peluang jadi ejen

Dr Mohar berkata, pihaknya membuka peluang mana-mana individu yang berminat untuk menjadi ejen pemasaran di luar Lembah Klang.

“Ia boleh menjadi peluang perniagaan baharu kepada ejen untuk menjana pendapatan sampingan menerusi komisen bulanan dan tahunan yang dilanggan pengguna.

“Selain itu, ejen juga boleh mendapat pendapatan tambahan apabila membantu memasukan data bagi pengguna yang tidak mempunyai masa untuk membuat perakaunan sendiri,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan memberikan latihan kepada ejen-ejen ini untuk mendapatkan kemahiran menggunakan aplikasi tersebut.

Beliau menjelaskan, Bina Pavo Data Intelligence menyasarkan untuk mempunyai lebih banyak ejen di setiap negeri pada masa akan datang.

“Ini kerana seorang ejen di setiap negeri atau daerah tidak mampu mengendali jumlah PKS yang banyak,” katanya.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.