• 10,000 penggemar buku serbu Jualan Gudang Karangkraf Pelbagai buku dan novel dijual dengan harga istimewa.
1 /

SHAH ALAM - Hampir 10,000 penggemar buku mengunjungi Jualan Gudang Karangkraf untuk mendapatkan pelbagai judul buku yang dijual dengan harga serendah RM3 dengan diskaun sehingga 80 peratus.

Pengurus Jualan dan Operasi Grup Buku, Roziana Omar berkata, sambutan yang diberikan amat menggalakkan kerana pada hari pertama, kehadiran pengunjung adalah dua kali ganda berbanding tahun lepas.

Menurutnya, walaupun Jumaat merupakan hari bekerja, para penggemar buku tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke gudang terutamanya pada waktu tengah hari.

“Alhamdulillah, kehadiran ini di luar jangkaan. Kami berterima kasih kepada yang hadir dan kami jangkakan, esok (hari ini) dan Ahad, lebih ramai lagi. Saya berharap, mereka yang datang awal esok (hari ini) .

“Kami akan menyediakan 14 kaunter bayaran supaya mereka tidak perlu menunggu dan beratur lama,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti akan diadakan pada hari ini antaranya ialah pelancaran novel baru iaitu Sayang Awak Sayang yang ditulis oleh Murni Aqila.

Beberapa penulis terkenal akan bersama pembaca antaranya ialah Herna Diana yang menulis Oh Mama Tiriku.

“Walaupun hujan di sebelah petang, tapak jualan tetap dikunjungi ramai pembeli. Pembeli tidak perlu risau kerana tapak jualan berbumbung,” katanya.

Menurutnya, sebahagian pembeli tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat dan mendaftar di kaunter e-Mall (gedung buku atas talian) yang dilancarkan pada November lalu.

Jualan Gudang Karangkraf berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.